ACLE: Johor Darul Ta’zim (JDT) terlepas peluang untuk mencipta sejarah baharu apabila tewas kepada Buriram United.
Skuad kendalian Hector Bidoglio turun dengan kesebelasan terbaik dengan nama-nama seperti Bergson, Arif Aiman, Juan Miniz dan Alvaro Gonzalez mengemudi pasukan.
Pasukan pelawat pula dibarisi nama-nama Dion Cools, Neil Etheridge, Goran Causic dan juga Guilherme Bissoli dalam misi melakar sejarah di Stadium Sultan Ibrahim.
Aksi babak pertama berlangsung sengit dengan kedua-dua pasukan saling bertukar serangan.
SSI terus gegak gempita selepas peledak berbisa, Bergson membuka tirai jaringan buat JDT namun dibatalkan kerana ofsaid.
Usaha pemain JDT berterusan namun kekebalan benteng Buriram menafikan setiap percubaan.
Bersambung babak kedua, JDT terus menggandakan asakan bertali-arus untuk menambah jaringan di laman sendiri.
Percubaan kencang yang dilepaskan oleh Bergson berjaya dinafikan oleh Etheridge sementara beberapa percubaan lain turut tidak menembusi gawang.
Pemain muda Thailand, Suphanat Mueanta berjaya meledak jaringan pembukaan pada minit ke-58 untuk menewaskan Andoni Zubiaurre.
Jaringan tunggal itu mengesahkan kemenangan Buriram United sekaligus menyaksikan JDT tersingkir.
Tambahan masa 6 minit tidak mengubah keputusan perlawanan yang kekal hingga wisel penamat dibunyikan.
JDT terlepas peluang untuk melangkah ke suku akhir sekaligus memberikan Buriram United peluang selaku wakil tunggal dari Asia Tenggara dan bakal beraksi secara berpusat di Arab Saudi bermula 25 April ini.