Akademi Mokhtar Dahari berpotensi diletakkan di bawah kawal selia Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Bayangan itu dinyatakan Naib Presiden FAM, Dato’ Dollah Salleh apabila diminta mengulas perkembangan terbaru tentang AMD.
Dollah memaklumkan proses perbincangan tentang AMD diletakkan di bawah kawal selia FAM sedang dijalankan. Ini kerana AMD masih lagi diletakkan di bawah penjagaan Majlis Sukan Negara (MSN).
“Semuanya dalam perbincangan lagi. Tapi dalam masa terdekat, kita akan buat keputusan. Ada kemungkinan kita akan mula dari peringkat akar umbi seperti (Akademi) Mokhtar Dahari,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.
“Jadi, apa yang saya boleh maklum ialah Akademi Mokhtar Dahari masih di bawah penjagaan MSN. Tetapi kemungkinan besar ada perbincangan untuk diserahkan kepada FAM untuk mengendalikan akademi ini.
“Ada kemungkinan tetapi keputusan belum muktamad. Dan besar kemungkinan, kalau perkara ini berlaku, Insya Allah kita akan lakukan yang terbaik.”
Dollah turut memaklumkan seandainya usaha ini dapat direalisasikan, beliau percaya lebih ramai ‘Arif Aiman Hanapi’ dapat dilahirkan.
Ini sekaligus dapat memberi manfaat besar kepada skuad Harimau Malaya untuk jangka masa panjang.