Penyerang veteran PT Athletic FC, Amri Yahyah terus membuktikan dirinya masih berbisa meskipun kini berusia 43 tahun.
Perlawanan ketiga Liga A1 Semi Pro menyaksikan Amri muncul wira dengan menyumbat gol penyamaan buat PT Athletic semasa menentang Harini FT.
Tuan rumah sebelum itu mendahului menerusi G. Thipen Raj pada minit ke-58. Walau bagaimanapun, hajat Harini meraih tiga mata pertama liga musim ini tidak kesampaian.
Ini selepas pengadil, Amirul Izzat Rusli mengesan kekasaran ke atas pemain PT Athletic dalam kotak penalti. Penalti itu mudah disempurnakan Amri bagi memastikan pasukan itu meraih satu mata.
Ini gol ketiga bekas penyerang Selangor FC itu dalam saingan Liga A1 Semi Pro. Sebelum ini, Amri meledakkan dua gol untuk membantu PT Athletic membenam cabaran Bukit Tambun FC 3-1.
Dan dalam aksi persahabatan menentang Terengganu FC II pada Mei lalu, beliau turut meledakkan dua gol untuk membantu PT Athletic meraih kemenangan 3-2.
Ini menunjukkan bisa Amri sebagai peledak gol tetap digeruni. Dan ini ada kaitan dengan rutin latihan yang dilakukannya setiap hari bila bergelar pemain profesional.
Amri melihat rutin latihan yang dilaluinya setiap hari penting bagi memastikan kemahiran yang dimilikinya tidak berkarat. Dan beliau melihat itu sesuatu yang patut dilakukan oleh generasi pemain muda hari ini.
“Saya tak nak burukkan sesiapa tetapi mereka baru belajar, kena beradaptasi dan kena buat rutin hari-hari. Kalau hari itu kau bermain, kau bagus ke tidak?
“Kau kena buat rutin hari-hari. Sebelum berlatih, kena datang awal. Apa mereka nak, contohnya macam sayalah. Saya tak tipu,” katanya dalam satu temubual bersama Nadi Arena baru-baru ini.
Amri kini penjaring kedua terbanyak dalam Liga A1 Semi Pro di belakang penyerang import Imigresen FC, ThankGod Michael Ogwuche. Ogwuche mengetuai carta penjaring dengan lima gol.