Usaha PT Athletic meraih kemenangan kedua dalam saingan Liga A1 Semi Pro tidak kesampaian apabila sekadar seri 1-1 dengan Harini FT.
Selepas tewas dua kali dalam saingan liga, Harini yang dibimbing K. Ramachandran berusaha mengelak tewas buat kali ketiga. Sementara PT Athletic pula mahu menambah kemenangan selepas menewaskan Bukit Tambun FC pada 8 Jun lalu.
Harini mempertaruhkan Joseph Akegie Sogbe sebagai tonggak utama mereka. Sementara Indra Putra Mahayuddin dan Amri Yahyah pula mengetuai cabaran PT Athletic.
Separuh masa pertama menyaksikan barisan serangan PT Athletic diketuai Amri, Indra dan Nurshamil Abd Ghani memberi ancaman kepada kubu tuan rumah.
Keadaan ini memaksa penjaga gol Harini, Firdaus Yusof bekerja keras menafikan asakan yang digerakkan pasukan pelawat.
Harini juga berusaha mengancam kubu pertahanan pelawat menerusi peledak mereka, G. Thipen Raj tetapi tidak berhasil.
Ketumpulan jentera serangan kedua-dua pasukan memastikan keputusan 0-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada separuh masa kedua, kedua-dua pasukan terus mempergiatkan serangan demi mendapatkan kelebihan gol.
Kesungguhan tuan rumah mendapatkan gol akhirnya berhasil pada minit ke-58 menerusi Thipen Raj.
Tersentak, pelawat yang dibimbing Nazrulerwan Makmor membuat beberapa pertukaran pemain bagi menambah sengat di barisan serangan.
Tatkala Harini menyangka dapat meraih tiga mata, pelawat mendapat talian hayat apabila pengadil, Amirul Izzat Rusli mengesan kekasaran ke atas pemain PT Athletic dalam kotak penalti.
Penalti tersebut mudah disempurnakan Amri untuk gol ketiganya dalam saingan Liga A1 Semi Pro. Keputusan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan.
Selepas ini, PT Athletic akan menentang Machan FC pada 29 Jun. Sementara Harini pula akan menentang KL Rovers pada 30 Jun.