Imigresen FC II sah menarik diri daripada saingan Liga A1 Semi-Pro 2026/2027 selepas mengharungi lapan perlawanan dalam kempen musim ini.
Keputusan itu dimaklumkan secara rasmi kepada Liga Bolasepak Amatur (AFL) menerusi surat penarikan diri yang dihantar pada 18 November 2026.
Menurut AFL, beberapa siri perbincangan telah diadakan bagi mencari jalan penyelesaian, namun pihak pengurusan Imigresen FC II tetap dengan keputusan untuk menarik diri daripada pertandingan tersebut.
AFL menerima keputusan berkenaan dengan berat hati dan mengesahkan semua perlawanan melibatkan Imigresen FC II dibatalkan serta dianggap tidak sah.
Keputusan itu turut menyaksikan semua mata dan jaringan gol yang direkodkan pasukan berkenaan sepanjang lapan perlawanan sebelum ini tidak lagi diambil kira.
Dalam perkembangan sama, AFL turut mengenakan hukuman penggantungan selama dua musim terhadap Imigresen FC II daripada menyertai mana-mana pertandingan anjuran badan tersebut.
Penggantungan itu melibatkan musim 2026/2027 dan 2027/2028 selain kelab berkenaan turut dikenakan denda sebanyak RM50,000.
Pengerusi AFL, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi menjelaskan bahawa hukuman yang dikenakan kali ini lebih berat berbanding kes penarikan diri pasukan sebelum ini.
Beliau menegaskan tindakan tersebut bertujuan memberikan peringatan kepada semua pasukan agar lebih bersedia dan bertanggungjawab dalam mematuhi peraturan pertandingan.
“Kita tidak mahu perkara yang sama lagi berlaku di masa akan datang dan mencemarkan reputasi Liga A1 yang kini mendapat perhatian sebilangan besar peminat bolasepak tanah air,” katanya.
Sementara itu, saingan Liga A1 Semi-Pro 2026/2027 akan diteruskan mengikut perancangan asal dengan baki 16 minggu perlawanan melibatkan 13 pasukan.
Pertandingan itu dijadualkan berakhir pada Mei 2027 dengan perebutan kejuaraan liga diteruskan tanpa penyertaan Imigresen FC II.

