JDT II tumpas 1-2 di tangan UM-Damansara dalam aksi ke-3 Liga A1 2026-27 di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin pada Ahad.
JDT II membariskan kesebelasan utama yang mantap untuk menundukkan UM-Damansara seperti Daryl Sham & Feroz Baharudin.
Sementara itu, UM- Damansara menurunkan Haziq Mukriz di benteng terakhir dan Azim Rahim bagi merobek gawang Harimau Selatan dalam aksi ini.
Harimau Selatan berjaya membuka tirai jaringan seawal minit ke-21 menerusi pemain sensasi, Syukur Fariz sekali gus memberikan kegembiraan kepada kem pasukan beliau.
Setakat ini, ia merupakan jaringan kelima beliau dalam saingan Liga A1 selepas 2 gol dalam aksi pembukaan ketika menentang USM & 2 gol ketika menumbangkan AAK Unisel pada minggu lalu. Jaringan tersebut kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Aksi babak pertama tamat dengan keputusan 1-0 memihak pasukan tuan rumah, JDT.
Bersambung babak kedua, UM-Damansara terus melancarkan serangan berbahaya bagi mencari gol penyamaan aksi selepas ketinggalan dalam separuh pertama.
UM-Damansara meningkatkan intensiti permainan dalam tempoh 10 minit berikutnya bagi mencari gol penyamaan sehingga usaha mereka membuahkan hasil menerusi Amirul Akmal pada minit ke-55.
Seterusnya, Harimau Selatan tampak melakukan lambakan serangan berbahaya namun tiada jaringan dapat ditemui menerusi ayam tambatan pasukan tersebut.
Selepas itu, Saiful Iskandar berjaya menjaringkan gol kemenangan buat pasukan UM-Damansara pada minit ke-75 sekali gus meleburkan rekod tanpa kalah Harimau Selatan dalam aksi Liga A1 pada musim ini.
Aksi di Stadium Larkin tamat dengan keputusan 1-2 memihak pasukan pelawat, UM-Damansara.