Media Indonesia: Arif Aiman Lebih Baik Dari Kesemua Pemain Luar Negara Indonesia
MakanBola
Malaysia NT

Aksi lincah Arif Aiman ketika membantu Malaysia mengikat Indonesia dalam saingan Kumpulan A FIFA ASEAN Cup 2026 ternyata mencuri perhatian media Indonesia yang menganggap bintang Harimau Malaya itu memiliki kualiti tersendiri.

Media Indonesia, Goma Bolaa menerusi satu ulasan mereka membandingkan Arif Aiman dengan bintang muda Indonesia, Marselino Ferdinan. Ini adalah susulan aksi pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu yang cukup menyerlah ketika Malaysia dan Indonesia berentap baru-baru ini.

“Siapa yang lebih baik? Marselino Ferdinan atau Arif Aiman? Mungkin kalian akan sedikit rasa tertampar mendengar fakta ini kerana setelah melihat permainan Arif Aiman, satu perkara yang sukar dibantah ialah pemain ini benar-benar licik,” kongsi Goma Bolaa di laman Facebook.

Mereka turut memuji kemampuan Arif Aiman yang memiliki kawalan bola kemas, berani berdepan situasi satu lawan satu serta mempunyai kelajuan dan keyakinan tinggi ketika berdepan pemain Indonesia.

Kelincahan Arif Aiman turut memainkan peranan dalam insiden yang menyaksikan pemain Indonesia, Thom Haye, dilayangkan kad merah selepas melakukan terjahan terhadap pemain Harimau Malaya tersebut. Keadaan itu sekali gus menyaksikan Indonesia terpaksa beraksi dengan 10 pemain seawal minit ke-36 perlawanan.

Goma Bolaa turut melihat Arif Aiman sebagai pemain yang menarik kerana mampu memiliki kualiti tersebut tanpa perlu terlebih dahulu beraksi di pentas Eropah.

“Di sinilah pentingnya satu perkara untuk pemain muda iaitu bermain secara kerap. Bakat sahaja tidak cukup, pemain muda memerlukan minit bermain, keyakinan diri dan pengalaman dalam membuat keputusan serta kesempatan untuk berkembang dalam perlawanan dan Arif Aiman mendapatkan semua perkara tersebut secara konsisten di Malaysia,” tegas media itu lagi.

Malah, media Indonesia itu membuat penilaian yang cukup tinggi terhadap pemain berusia 24 tahun tersebut apabila menyifatkan Arif Aiman sebagai pemain tempatan Malaysia yang jauh lebih baik berbanding kesemua pemain luar negara Indonesia yang rata-ratanya beraksi di eropah.