Selepas 5 Hari, UM-Damansara Jumpa JDT Lagi
MakanBola
Johor Southern Tigers

Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal bertemu UM-Damansara buat kali ketiga dalam tempoh kurang 14 hari.

Kedua-dua pasukan baru sahaja bertemu di pusingan 16 terbaik Piala FA yang menyaksikan JDT berjaya melangkah ke peringkat suku akhir hasil kemenangan agregat 14-1 dalam dua aksi timbal balik yang berlangsung sebelum ini.

Perlawanan timbal balik pertama diadakan pada 1 September dengan JDT berjaya mengatasi cabaran UM-Damansara 4-1 sebelum pasukan Harimau itu berpesta gol 10-0 pada pertembungan kedua di Stadium Sultan Ibrahim Selasa lalu.

Kini, giliran JDT II pula bakal menjadi lawan UM-Damansara dalam aksi minggu 3 Liga A1 Semi-Pro di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin pada 13 September, selang 5 hari setelah berdepan pasukan utama Harimau Selatan.

Kedudukan terkini Liga A1 Semi-Pro menyaksikan JDT II berada di tangga kedua, dengan mengumpul 6 mata maksimum hasil dua kemenangan dalam dua perlawanan awal sebelum ini ketika menentang USM dan AAK Unisel.

Sementara itu, UM-Damansara pula akan mengharungi perlawanan kedua mereka dalam saingan Liga A1 Semi-Pro ketika berdepan JDT II ini nanti selepas kecundang kepada Selangor II ketika aksi minggu pertama pada 29 Ogos lalu.

Tugas mencabar menanti pasukan kendalian Asri Ninggal ini bagi melakar kemenangan ke atas JDT II pada Ahad ini dalam usaha untuk mendapatkan kembali motivasi selepas tersingkir di Piala FA selain meraih mata pertama di liga.