JDT berjaya menumpaskan pasukan UM-Damansara dalam perlawanan kedua pusingan 16 dengan keputusan 10-0 di Stadium Sultan Ibrahim pada Selasa.
Harimau Selatan menurunkan Christian Abad di posisi penjaga gol dan Natxo Insa menggalas lilitan kapten manakala Jairo Da Silva mengetuai jentera serangan.
Sementara itu, UM-Damansara membariskan Azfar Arif di benteng terakhir dan Eizrul Ashraf sebagai ayam tambatan skuad tersebut malam ini.
Pasukan tuan rumah, JDT bermula garang dengan berjaya membuka akaun jaringan seawal minit ke-6 aksi menerusi tandukan berbisa, Eddy Israfilov.
Pemain lincah dari Bulgaria, Stoichkov menambah derita UM-Damansara pada minit ke-22 bagi memastikan Harimau Selatan berada di hadapan dengan selesa.
Selepas itu, Stuart Wilkin turut mencatat nama sebagai penjaring minit ke-32 aksi sekaligus menjarakkan kedudukan dengan 6 defisit jaringan termasuk gol perlawanan pertama pusingan 16.
Memasuki minit ke-40 JDT masih mengekalkan momentum dengan melancarkan beberapa serangan berbahaya ke arah gawang UM-Damansara.
UM-Damansara kian buntu mencari gol pertama skuad tersebut apabila pemain-pemain JDT semakin meningkatkan intensiti permainan meskipun sudah berada di hadapan dengan 6 gol.
Perlawanan separuh masa pertama tamat dengan keputusan 3-0 memihak kepada pasukan tuan rumah, JDT.
Bersambung babak kedua perlawanan, JDT tidak mengendurkan asakan walaupun sudah berada di hadapan dengan jumlah jaringan yang besar.
Stoichkov menambah gol kedua peribadi perlawanan sebelum pemain gantian, Daniesh Amirruddin meledak gol sulung bersama Harimau Selatan pada minit ke-59.
Stuart Wilkin turut menjaringkan gol kedua aksi minit ke-77 sebelum penyerang sensasi baharu, Shahab Zahedi turut meletakkan nama dalam senarai penjaring.
Eddy Israfilov, Daniesh Amirruddin dan Shahab Zahedi melengkapkan malam gemilang Harimau Selatan dengan mencukupkan 10 gol pada penghujung separuh masa kedua.
Aksi tamat dengan keputusan secara agregat 14-1 memihak pasukan tuan rumah, JDT.