Liga A1

Sharul Nazeem Kembali Selepas 372 Hari

Sharul Nazeem Selangor Imigresen Sharul Nazeem Kembali Selepas 372 Hari
Selangor FC
Advertisements

Pemain pertahanan tengah Selangor FC, Sharul Nazeem Zulpakar akhirnya kembali merasai aksi bola sepak kompetitif selepas terpaksa berehat selama 372 hari akibat kecederaan serius yang dialaminya sebelum ini.


Pemain berusia 26 tahun itu membuat penampilan semula menerusi saingan Liga A1 Semi-Pro apabila diturunkan bersama Selangor FC II yang berjaya menewaskan Imigresen FC II dengan keputusan 3-1 pada 1 November lalu.

Untuk rekod, Sharul Nazeem terpaksa melupakan baki saingan Liga Malaysia musim 2025/26 lebih awal selepas mengalami kecederaan ketika berdepan KL City FC.

Dalam aksi tersebut, pemain yang mesra dengan panggilan Afro itu tidak dapat meneruskan permainan selepas mengalami kecederaan pada minit ke-38. Pengendali Selangor FC ketika itu, Christophe Gamel kemudian memasukkan Harith Haiqal Adam Afkar bagi menggantikan tempatnya.

Hasil pemeriksaan lanjut, Sharul Nazeem disahkan mengalami kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) serta kecederaan pada bahagian meniskus yang memaksanya menjalani proses pemulihan dalam tempoh yang panjang.

Bagaimanapun, penantian panjang pemain berusia itu akhirnya berakhir apabila beliau kembali diturunkan beraksi selepas 372 hari. Menerusi satu perkongsian terbaharu di laman Instagram, Sharul meluahkan rasa syukur kerana akhirnya dapat kembali ke padang selepas melalui tempoh pemulihan yang cukup mencabar.

Sharul Nazeem Sharul Nazeem Kembali Selepas 372 Hari
Perkongsian Sharul Nazeem di Instagram.

Kepulangan Sharul Nazeem pastinya menjadi satu perkembangan positif buat Selangor FC memandangkan pengalaman serta keupayaannya di bahagian pertahanan mampu memberikan lebih banyak pilihan kepada pasukan.

Paling penting, beliau kini berpeluang untuk kembali mendapatkan rentak permainan dan membina semula keyakinan selepas melalui detik sukar akibat kecederaan ACL tersebut.