Anak Ketua Pegawai Operasi (COO) merangkap Pengarah Teknikal Johor Darul Ta’zim (JDT), Alistair Edwards memilih menyertai kelab Thailand, BG Pathum United.
Pemain tengah Australia, Ryan Edwards menjadi pemain terbaru menyertai The Rabbits selepas Akarapong Pumwiset, Anthony Belmonte dan Pawee Tanthatemee.
“BG Pathum United telah menandatangani Ryan Edwards, seorang pemain tengah Australia untuk menyertai pasukan untuk musim 2026/27,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Sebaik perpindahan itu disahkan, pemain tengah berusia 32 tahun itu merasa teruja untuk membantu BG Pathum cemerlang pada musim hadapan.
“Saya berasa sangat bersemangat dan gembira untuk menandatangani kontrak dengan BG Pathum United. Saya tahu ini adalah kelab yang hebat dan ini adalah perjalanan yang luar biasa untuk kerjaya saya.”
“Saya berharap untuk membalas kepercayaan yang kelab ini berikan kepada saya dan untuk membuktikan diri saya di padang untuk semua peminat melihat apa yang saya boleh lakukan untuk kelab ini,” katanya.
Khidmat pemilik nama Ryan Marc Edwards itu dijangka ditagih bukan saja untuk kempen domestik BG Pathum tetapi juga untuk Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).
Meskipun begitu, seorang peminat Singapura bernama Zhen Ming ingin tahu sama ada Ryan akan dibenarkan beraksi di Singapura untuk ACL2 atau tidak.
Ini kerana mengikut semakan di Wikipedia, beliau memilih meninggalkan kerakyatan republik itu pada usia 21 tahun. Zhen Ming melihat kes Ryan hampir sama seperti kes pemain Thailand, Ben Davis.
Pemain tengah Australia itu pernah mewakili Reading, Burton Albion, Partick Thistle, Heart of Midlothian, Busan IPark, Amorebieta, Marbella dan Omonia Aradippou.