Putera Cristiano Ronaldo, Cristiano Jr menerima panggilan skuad kebangsaan Portugal buat kali pertama.
Sebelum ini, Cristiano Jr berpeluang mewakili lima negara di peringkat antarabangsa. Lima negara tersebut ialah Portugal, Amerika Syarikat, England, Sepanyol dan Cape Verde.
Kini, Portugal mengorak langkah awal dengan memanggil beliau menyertai skuad Bawah 15 Tahun (B-15) untuk Kejohanan Antarabangsa Vlatko Markovic.
Kejohanan itu akan berlangsung di Croatia dari 13 hingga 18 Mei ini. Selain Portugal, England, Jepun dan Greece turut mengambil bahagian dalam kejohanan sama.
Cristiano Jr bukan satu-satunya pemain luar negara yang dipanggil menyertai skuad Portugal B-15. Bintang muda Tottenham Hotspur, Donte Lawrence turut dipanggil menyertai pasukan itu.

Sebaik mengetahui puteranya dipanggil menyertai Portugal, legenda berusia 40 tahun itu merasa bangga dengan perkhabaran berkenaan. “Bangga dengan kamu, anakku,” katanya di Instagram Story.
Seperti Ronaldo, Cristiano Jr juga pernah beraksi untuk Manchester United, Juventus dan Real Madrid. Beliau kini beraksi untuk skuad remaja Al-Nassr.