Annuar Musa: Banyak Kejutan Akan Muncul
MakanBola
Tan Sri Annuar Musa

Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa menjangkakan bakal ada kejutan buat para peminat negeri tersebut.

Menerusi satu hantaran di laman Facebook peribadi, beliau merasakan saingan Liga Super akan terus berlangsung pada musim hadapan meskipun terpalit isu penarikan diri pasukan musim ini.

“Liga akan mati? Insya Allah tidak,” tulis Annuar Musa.

“Kita harus berikhtiar. Usah menuding jari. Semua pihak sudah menyumbang.”

Tambah beliau, pasukan dari Kelantan dijangka bakal terus mewarnai saingan Liga Super musim akan datang selepas pengalaman lalu banyak mengajar pihak pengurusan untuk mentadbir kelab.

“Kelantan akan bersaing di Liga Super Insya Allah. Kita urus cara kita serta belajar dari kelemahan masa lalu.”

Malah, Annuar Musa turut memberi jaminan bakal ada suatu kejutan akan diumumkan demi memastikan Kelantan tidak lagi menjadi pasukan belasahan oleh kelab lain pada musim hadapan.

“Yang pasti, ada banyak kejutan bakal muncul. Insya Allah kita tidak benarkan pasukan Kelantan jadi belasahan lagi.”

“Satu syarat (adalah) bersatu hati dan bersedia berkhidmat, demi sukan, demi Kelantan dan bola sepak negara.”

Untuk rekod, Annuar Musa pernah bergelar Presiden KAFA bermula tahun 2008 sehingga 2016 dan berjaya membawa pelbagai kejayaan buat pasukan Kelantan khususnya gelaran treble pada tahun 2012.