Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa meramal Kelantan Darul Naim (KDN) bakal diperkuat 10 pemain import menjelang musim baharu Liga Super.
Terdahulu, penyertaan Kelantan DN ke saingan Liga Super telah disahkan oleh pihak Malaysian Football League (MFL) bersama-sama dua lagi kelab iaitu KL City dan juga PDRM.
Ini selepas ketiga-tiga kelab berkenaan berjaya menghantar dokumen kewangan tambahan kepada First Instance Body bagi menerima Lesen Kebangsaan dan beraksi di Liga Super 2025-2026.
Annuar Musa menerusi satu kenyataan menzahirkan ucapan tahniah untuk pasukan KDN kerana telah diberi nafas baharu apabila diambil alih oleh Syarikat Kijang Handal Sdn Bhd dan akan terus beraksi musim hadapan.
Oleh itu, beliau berharap pihak pengurusan KDN sanggup untuk mengambil risiko untuk melabur dalam membentuk satu skuad yang ampuh dengan kehadiran pemain import dari ASEAN dan Asia.
“KDN perlu berani melabur utk membentuk satu pasukan yg kompetitif,” kata Annuar Musa di laman Facebook.
“Dua atau 3 pemain kebangsaan dari negara Asean dan sekurang kurangnya dua pemain Asia perlu diikat segera memandang KDN ketiadaan pemain lokal yang berkaliber tinggi.”
Malah, beliau juga menjangkakan seramai 10 orang pemain import dan seorang jurulatih berpengalaman mampu untuk membawa KDN kembali ke zaman kegemilangan bersama penyokong di Kota Bharu.
“Sekurang kurangnya 10 pemain import dijangka membarisi KDN 2025,” kata Annuar Musa.
Dengan jurulatih yang berpengalaman, Stadium Sultan Muhammad IV bakal bergegar kembali.”
“The True Warriors dengan wajah serba baru bakal muncul sehari dua lagi, In Shaa Allah,” ujar beliau yang juga Bekas Ahli Parlimen Ketereh.