Piala Dunia
Be Football
Advertisements

Pentas final Piala Dunia 2022 bukan sekadar perlawanan terakhir buat kapten Argentina, Lionel Messi. Tetapi pada masa sama, ia juga merupakan peluang terbaik buat bekas penyerang Barca, Antoine Griezmann membalas dendam terhadap penyerang PSG itu selepas menerima layanan dingin sepanjang berada di Nou Camp.

Bukan satu rahsia graduan akademi Real Sociedad itu dibawa ke Nou Camp pada 2019 sebagai pengganti Neymar. Tetapi tidak seperti penyerang Brazil itu, Griezmann tidak mempunyai kelajuan dan larian terus yang diperlukan untuk merobek pertahanan. Atas sebab itu, Messi tak pandang langsung bekas pemain Atletico Madrid itu dan melihat pemain remaja Ansu Fati sebagai pengganti jangka panjang Neymar.

Ansu Fati FC Barcelona Antoine Griezmann Mahu Balas Dendam Kepada Messi
Ansu Fati lebih digemari Lionel Messi berbanding Griezmann yang dibawa masuk dari Atletico Madrid. Gambar: FC Barcelona

Justeru, tidak hairanlah apabila saingan La Liga bersambung pada Mei 2020 selepas digantung seketika akibat pandemik Covid-19, Messi memperlihatkan pilihannya itu kepada semua. Bagi mematuhi protokol kesihatan ketika itu, pemain-pemain Barca dipecahkan kepada kumpulan kecil dalam sesi latihan. Messi memilih Luis Suarez dan Fati sebagai ahli kumpulan kecilnya dengan Griezmann diketepikan.

Advertisements

Benar, rakan karib Messi di kelab pasca-Neymar ketika itu ialah Suarez dan Arturo Vidal. Ini menjadikan legenda Argentina itu tidak mempunyai ramai rakan rapat. Malah, Suarez juga membantu Griezmann beradaptasi dengan kehidupan di Blaugrana. Tetapi kalau sudah bukan pilihan legenda Barcelona, pemain mana yang tak terasa dengan layanan sebegitu rupa?

Siapa sangka, Griezmann berupaya menjadi enjin bahagian tengah selepas diletakkan oleh Didier Deschamps untuk kempen Piala Dunia 2022. Dengan keputusan tersebut, ia turut mendedahkan satu lagi kekecewaan bekas pemain La Real itu di Nou Camp: kegagalan pengurus-pengurus sebelumnya menggunakan khidmatnya di bahagian tengah.

Dari Ernesto Valverde hinggalah pengurus terakhirnya di Barca, Ronald Koeman tidak pernah terfikir memanfaatkannya di situ. Sekiranya Griezmann diletakkan di bahagian tengah pada musim 2019/2020, ia bukan saja mengubah pencapaian musim Blaugrana tetapi menjadikannya sebagai jeneral tengah Barca yang sukar diketepikan.

Advertisements
Pengaruh Griezmann di bahagin tengah Perancis memacu Les Bleus ke pentas final Piala Dunia 2022. Gambar: BFMTV

Ini kerana pengaruh Sergio Busquets semakin merosot, Miralem Pjanic bukan solusi bahagian tengah dan Frenkie De Jong mengambil masa untuk menyesuaikan diri. Sementara dua pemain muda yang kini menjadi pilihan Xavi di bahagian tengah, Gavi dan Pedri pula belum membuat kemunculan dalam pasukan utama. Kegagalan ini sedikit sebanyak memotivasikan Griezmann untuk bangkit di Atletico dan Perancis.

Pentas final Piala Dunia 2022 dilabel sebagai pentas magis Messi dan Kylian Mbappe. Tetapi bagi Griezmann, dia tidak kisah siapa yang lebih menonjol. Yang lebih penting ialah menjulang Piala Dunia bersama Les Bleus buat kali kedua selepas melakukannya pada 2018 di Rusia. Dan jika itu menafikan Messi daripada mendapat hadiah perpisahan terbaik, ia pastinya melegakan bekas penyerang Sociedad itu.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram