Advertisements
Arab Saudi & Australia Sama Liat
Asia
MakanBola
Saudi NT

Aksi Kelayakan Piala Dunia 2026 kumpulan C menyaksikan Arab Saudi berjaya mengikat Australia pada Khamis.

Setelah berjaya mengikat Jepun 1-1 dalam aksi terakhir pada Oktober lalu, Australia kembali ke Melbourne untuk berdepan Arab Saudi yang kembali mendapat sentuhan Herve Renard.

Jurulatih Australia, Tony Popovic melakukan satu pertukaran berbanding aksi sebelum ini dengan membawa masuk Aiden O’Neill sementara Arab Saudi turun tanpa kapten, Salem Al-Dawsari.

Seawal minit ke-12, pengadil memberikan tendangan penalti buat tuan rumah apabila Mitchell Duke dikasari penjaga gol Arab Saudi namun VAR menukar keputusan kepada sepakan percuma.

Arab Saudi miliki peluang terbaik untuk memecah kebuntuan menerusi percubaan Nasser Al-Dawsari yang berjaya ditepis oleh penjaga gawang Australia, Joe Gauci pada minit ke-26 permainan.

Seminit sebelum rehat, sepakan lemah oleh pemain Australia, Ajdin Hrustic berjaya ditangkap kemas oleh Ahmed Al Kassar meskipun hanya perlu berdepan penjaga gol lawan ketika itu.

Separuh masa pertama tamat, Australia 0-0 Arab Saudi.

Kembali dari rehat, Socceroos membuat pertukaran penting di bahagian serangan dalam usaha Australia untuk memburu jaringan di hadapan 27,491 penyokong sendiri.

Aksi kebal anak didik Herve Renard berhasil mematahkan serangan demi serangan tuan rumah sekaligus memastikan satu mata berjaya dibawa pulang dari bumi Australia.

Pada minit akhir, suasana di stadium senyap seketika setelah Arab Saudi berjaya menyumbat gol namun Australia bernasib baik apabila semakam VAR membatalkan jaringan itu kerana ofsaid.

Aksi di Melbourne Rectangular Stadium berakhir tanpa sebarang jaringan.

Saingan kumpulan C selepas ini menyaksikan Australia akan berkunjung ke Manama untuk bertemu Bahrain sementara Arab Saudi bakal berdepan Indonesia di Jakarta pada minggu hadapan.