Rekod tanpa kalah Jepun dalam Kumpulan C terus utuh meskipun diikat 1-1 dengan Australia di Stadium Saitama.
Samurai Biru yang dibimbing Hajime Moriyasu ingin mengekalkan rekod kemenangan 100% dalam aksi pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026. Manakala The Socceroos yang dibimbing Tony Popovic pula mahu menambah satu lagi kemenangan selepas berjaya menewaskan China.
Australia menggunakan formasi 3-4-3 dengan Mitchell Duke mengetuai jentera serangan. Manakala Jepun pula menggunakan formasi 3-4-2-1 dengan Ayase Ueda menjadi sandaran gol mereka.
Separuh masa pertama menyaksikan Jepun berusaha mencari kelebihan gol awal. Bintang Real Sociedad, Takefusa Kubo hampir meletakkan tuan rumah di hadapan seawal minit kelima tetapi percubaannya mengenai sisi gol.
Samurai Biru berusaha memanfaatkan kelebihan pemain sayap pantas mereka terdiri daripada Kubo, Takumi Minamino, Kaoru Mitoma dan Ritsu Doan.
Ini mendorong The Socceroos berkubu di kotak penalti untuk membantu penjaga gol Aston Villa, Joe Gauci melindungi gawang mereka.
Australia berusaha merencana beberapa gerakan serangan menerusi pemain bek sayap kiri Westerlo, Jordan Bos. Malangnya, usaha pemain berusia 21 tahun itu berjaya dipatahkan barisan pertahanan Jepun diketuai Ko Itakura.
Kesukaran kedua-dua pasukan mencari sentuhan penyudah menyaksikan keputusan 0-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, Popovic membuat pertukaran dengan memasukkan pemain tengah Nashville SC, Patrick Yazbek menggantikan Luke Brattan.
Jepun terus berusaha menembusi gawang Australia. Mereka hampir melakukannya pada minit ke-56 menerusi Minamino tetapi tandukan bekas bintang Liverpool itu tersasar.
Tatkala Samurai Biru terus ghairah mengasak, tuan rumah tergamam apabila Shogo Taniguchi tertanduk hantaran Lewis Miller ke gawang sendiri pada minit ke-58.
Tersentak, Moriyasu memasukkan Junya Ito, Daichi Kamada dan Keito Nakamura untuk menambah sengat di bahagian serangan Jepun.
Kesungguhan Jepun memburu gol penyamaan akhirnya membuahkan hasil apabila Cameron Burgess tertolak hantaran Nakamura ke gawang sendiri pada minit ke-76.
Kedua-dua pasukan terus berusaha memburu gol kemenangan tetapi keputusan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan Samurai Biru terus menerajui Kumpulan C dengan 10 mata. Manakala Australia pula kini di tangga kedua dengan lima mata.
Kedudukan ini dijangka berubah apabila beberapa pasukan Kumpulan C melengkapkan aksi mereka pada 15 Oktober.
Persembahan memuaskan Kubo diiktiraf Sofascore sebagai pemain terbaik perlawanan. Kedua-duanya mendapat markah 7.5, 0.1 mata di hadapan rakan sepasukan, Hidemasa Morita.
Selepas ini, Jepun akan berdepan Indonesia di Jakarta pada 15 November. Manakala Australia pula bakal diuji Arab Saudi pada awal pagi hari yang sama.