Arab Saudi sah dipilih sebagai tuan rumah Piala Dunia 2034.
Keputusan ini disahkan menerusi Mesyuarat Luar Biasa Kongres FIFA yang diadakan secara maya pada 11 Disember lalu. Kesemua 211 negara ahli menyertai mesyuarat berkenaan.
Arab Saudi menjadi satu-satunya negara yang membuat bidaan hak tuan rumah selepas FIFA memutuskan untuk mempercepat proses bidaan hak tuan rumah untuk edisi 2034.
Menteri Sukan Arab Saudi, Putera Abdulaziz bin Turki Al-Faisal amat menghargai peluang yang diberi FIFA selaku tuan rumah Piala Dunia 2034.
“Bagi kami, bola sepak itu bukan sekadar sukan. Ia satu nilai yang kami kongsikan dengan seluruh dunia. Kami tidak sabar untuk menjadi tuan rumah dan kami tidak sabar untuk menganjurkan lebih banyak acara dan mencipta sejarah bola sepak.
“Inilah peluang untuk menjemput anda semua untuk melawat negara saya, meraikan budaya kami dan melihat kisah kejayaan terhebat dengan mata anda sendiri di negara kami,” katanya seperti dilaporkan The Guardian.
Presiden FIFA, Gianni Infantino pula melihat pemilihan Arab Saudi sebagai bukti penyatuan boleh dicapai dalam sukan bola sepak.
“Dalam dunia yang terbahagi ini anda perlu menunjukkan penyatuan, anda telah menunjukkan bahawa kita sebahagian daripada komuniti global.
“Kita mungkin tidak sama, kita tahu tentang perkara itu tetapi kita belajar untuk hidup dengan perbezaan kita dan saling menghormati antara satu sama lain,” katanya.
Kongres sama turut mengesahkan pemilihan Sepanyol, Portugal dan Maghribi sebagai tuan rumah Piala Dunia 2030.