Argentina muncul pasukan pertama layak ke final Piala Dunia 2022 selepas berjaya mengatasi cabaran Croatia di peringkat separuh akhir di Stadium Lusail hari ini.
Sebaik sepak mula, kedua-dua pasukan bermula berhati-hati dengan fokus terarah kepada kawalan bola. Walaupun kedua-duanya mengatur pergerakan serangan tetapi kebanyakan serangan banyak dikeluarkan oleh pertahanan kedua-dua pasukan diterajui oleh Josko Gvardiol dan Cristian Romero.
Tetapi semua itu berubah pada minit ke-32 apabila pertahanan Croatia dikejutkan dengan gerakan pantas Julian Alvarez. Larian pantas penyerang Manchester City itu dihalang oleh penjaga gol Dominik Livakovic semasa cuba menjaringkan gol sekaligus mengakibatkan Argentina diberi sepakan penalti. Keputusan tersebut dibantah oleh Croatia mengakibatkan pembantu Zlatko Dalic, Mario Mandzukic dibuang padang dan pemain tengah Chelsea Mateo Kovacic dikenakan kad kuning.
Lionel Messi tenang menewaskan penjaga gol Dinamo Zagreb itu menerusi satu sepakan kencang bagi meletakkan Albiceleste di hadapan. Gol tersebut bukan saja meletakkan Messi berkongsi kedudukan penjaring terbanyak Piala Dunia 2022 dengan bintang PSG, Kylian Mbappe. Malah, gol tersebut membantu legenda Barcelona itu mengatasi rekod Gabriel Batistuta sebagai penjaring gol terbanyak Piala Dunia dengan 11 gol.
Beberapa minit selepas itu, Livakovic dibolosi lagi buat kali kedua menerusi Alvarez. Selepas mengeluarkan bola daripada pertahanan Argentina, Messi melorongkan bola kepada penyerang City sebelum dia membuat larian solo persis Diego Maradona ke arah gol Croatia. Walaupun cuba dihalang pertahanan Croatia, Alvarez mudah menolak bola ke dalam gawang Vatreni.
Anak buah Zlatko Dalic menyangka mereka akan ketinggalan lagi pada minit ke-43. Satu sepakan sudut yang dihantar Messi menyaksikan bola tandukan pemain tengah Brighton, Alexis MacAllister hampir menerjah jaring tetapi berjaya ditepis Livakovic. Penjaga gol Zagreb itu kemudiannya berjaya mengeluarkan bola daripada satu lagi sepakan sudut yang diatur legenda Barcelona itu.
Dua minit selepas itu, Croatia cuba merapatkan kedudukan menerusi percubaan bek kanan Celtic, Josip Juranovic. Tetapi percubaan tersebut berjaya ditepis Emiliano Martinez dengan cubaan susulan Andrej Kramaric gagal menepati sasaran. Keputusan 2-0 kekal sehingga rehat.
Selepas rehat, Vatreni memasukkan Mislav Orsic, Nikola Vlasic dan Bruno Petkovic bagi menambah sengat di bahagian serangan. Tetapi keghairahan mereka memburu gol hampir dihukum Argentina menerusi gerakan Alvarez dan Enzo Fernandez pada minit ke-56. Croatia bernasib baik kerana bola berjaya dikeluarkan sebelum pemain tengah Benfica itu melepaskan rembatan ke arah Livakovic.
Dua minit selepas itu, kerapuhan pertahanan mereka sekali lagi dieksploitasi oleh Alvarez. Kali ini, gerakan serangan diatur oleh Messi sebelum bertukar hantaran dengan bekas penyerang River Plate itu. Messi kemudiannya melepaskan satu rembatan ke arah Livakovic tetapi berjaya ditepis penjaga gol Dinamo Zagreb itu.
Pada minit ke-63, kelemahan situasi bola mati Albiceleste cuba dieksploitasi oleh Vatreni menerusi tandukan Dejan Lovren. Bagaimanapun, sebelum ia sempat direbut oleh mana-mana pemain Croatia, Martinez yang bermain untuk Aston Villa menanduk bola keluar.
Albiceleste melebarkan kelebihan mereka menerusi gol kedua Alvarez pada minit ke-70. Messi sekali lagi berperanan sebagai pencipta gol dengan membuat satu larian bersahaja ke arah gawang Croatia. Legenda Blaugrana itu menggelecek Gvardiol sebelum membuat satu hantaran yang mudah disempurnakan Alvarez untuk gol ketiga Argentina.
Albiceleste hampir menambah gol keempat menerusi sepakan voli Alexis MacAllister pada minit ke-83 selepas menerima hantaran pemain gantian Paulo Dybala. Bagaimanapun, sepakan pemain tengah Brighton itu melepasi bahagian tepi gol. Tiga minit selepas itu, tandukan Lovren menerusi satu lagi sepakan sudut Croatia gagal menepati sasaran. Keputusan 3-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Dengan keputusan ini, Argentina menjadi pasukan pertama layak ke final dan menanti Perancis atau Maghribi sebagai lawan mereka. Ini merupakan peluang kedua buat Messi menjulang Piala Dunia selepas dinafikan oleh Jerman pada Piala Dunia 2014. Tetapi siapa saja lawan mereka di final, Albiceleste perlu bekerja keras bagi merealisasikan impian menjulang Piala Dunia buat kali ketiga.