Pemain pertahanan import Terengganu FC, Argzim Redzovic sah meninggalkan pasukan Pantai Timur itu setelah 6 tahun menyarung jersi Sang Penyu.
Argzim Redzovic memuat naik ucapan perpisahan untuk pasukan Terengganu dalam sebuah hantaran di Instagram miliknya.
Pemain berusia 33 tahun itu mewarnai arena bola sepak Malaysia sejak tahun 2018 apabila menyertai pasukan PDRM sebelum bergelar pemain Terengganu pada tahun 2020.
Argzim Redzovic mengharungi musim yang sukar bersama Terengganu pada musim ini apabila mengalami kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL) pada bulan Februari lalu dan terpaksa berehat panjang.
“Ini adalah bahagian yang paling sukar apabila tiba masa untuk mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan yang saya wakili paling lama dalam karier saya.
“Tapi inilah hakikat kehidupan, tiada yang kekal selamanya. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Terengganu FC selama hampir enam tahun kerana memberi saya peluang untuk menyarung jersi ini dan memimpin salah satu kelab terbesar di Malaysia sebagai kapten pasukan.
“Saya amat menghargai sokongan luar biasa daripada para penyokong kami yang sentiasa berdiri bersama kami, tidak kira ketika susah mahupun senang.
“Terima kasih kepada semua pihak pengurusan TFC, barisan kejurulatihan, dan rakan sepasukan saya atas enam tahun pengalaman yang sungguh luar biasa yang telah kita kongsikan bersama di Terengganu.
“Sukar untuk menggambarkan perasaan ini dengan kata-kata, tetapi bagi saya dan keluarga, Terengganu adalah rumah kami dan akan sentiasa berada dalam hati kami.” ucap Argzim Redzovic.
Pemain kelahiran Montenegro ini hanya melakukan 4 penampilan bersama pasukan Terengganu pada musim lalu.
Argzim Redzovic sebelum ini turut dicanang selaku pemain naturalisasi Harimau Malaya yang seterusnya setelah beliau telah lebih 5 tahun bermain di liga Malaysia bersama PDRM dan juga Terengganu.