Terengganu FC menerima tamparan hebat apabila bek tengah, Argzim Redzovic terpaksa berehat panjang akibat kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL).
Perkara ini dikongsikan sendiri Exco Pembangunan Belia, Sukan & NGO Negeri Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim.
Hishamuddin yang ditemani Pengarah Sukan Terengganu, Zulfadli Rozi menziarahi Redzovic di KMI Kuala Terengganu Medical Centre baru-baru ini. Bek tengah Montenegro itu baru saja menjalani pembedahan untuk merawat kecederaan ACL.
“Berkebetulan berada di KMI, kami turut menziarahi Argzim Redzovic, pemain pertahanan Terengganu Football Club (TFC) yang baharu selesai menjalani pembedahan untuk rawatan ACL,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
“Pemain kelahiran Montenegro ini mengalami kecederaan ACL dan terpaksa berehat dalam beberapa tempoh sehingga pulih sepenuhnya.
“Semoga Argzim cepat sembuh dan dapat segera menjalani fisioterapi bagi memastikan kecederaan yang dialami kembali pulih.”
Ini menjadikan Redzovic sebagai pemain Terengganu terbaru yang perlu berehat panjang akibat kecederaan.
Sebelum ini, Peteh terpaksa melupakan khidmat penjaga gol, Suhaimi Husin dan bek kiri, Alif Zakaria. Suhaimi dan Alif masing-masing berehat panjang selepas mengalami kecederaan ligamen medial kolateral (MCL) dan ACL.
Selain menziarahi Redzovic, Hishamuddin dan Zulfadli turut melihat keadaan terkini Suhaimi dan Alif. Kedua-duanya kini menjalani proses pemulihan di KMI Kuala Terengganu Medical Centre.