Bintang muda Malaysia, Arif Aiman menghargai sokongan luar biasa yang dipamerkan penyokong Harimau Malaya terutamanya penyokong yang sanggup hadir ke Qatar.
“Terima kasih kepada semua penyokong Malaysia yang datang ke stadium untuk menyaksikan perlawanan yang agak sengit. Terima kasih kerana menyokong kami walau dimana kami berada.”
“Terima kasih menyokong kami dari bawah sampai sekarang. Saya ingin mengucapkan salute kepada anda semua.” ujar Arif Aiman setelah tamat perlawanan.
Arif Aiman muncul watak penting bagi Malaysia apabila menjaringkan gol kedua negara menerusi sepakan penalti setelah beliau dikasari dalam kawasan kotak penalti.
Gol kedua tersebut bukan sahaja membangkitkan semangat pemain Malaysia malah turut membuat penyokong Harimau Malaya teruja apabila dapat mendahului Korea Selatan 2-1.
Korea Selatan kemudian bangkit menerusi jaringan dua pemain bintang, Lee Kang-in dan Son Heung-min sebelum Malaysia sekali lagi menghampakan Taeguk Warriors menerusi jaringan minit akhir Romel Morales.
Korea Selatan sah mara ke pusingan 16 Piala Asia 2023 manakala perjuangan pasukan Malaysia terhenti di peringkat kumpulan setelah merekodkan dua kekalahan dan satu seri dalam saingan peringkat kumpulan E.