Advertisement
Nama Arif Aiman Jadi Bualan Orang Argentina
Harimau Malaya
MakanBola
FA Malaysia

Kelibat penyerang sensasi Malaysia, Arif Aiman Hanapi menjadi bualan orang Argentina menjelang sepak mula Piala Asia 2023.

Pemain berusia 22 tahun itu tersenarai dalam 26 orang pemain yang dibawa oleh ketua jurulatih, Kim Pan-gon untuk memacu cabaran negara ke Qatar.

Harimau Malaya layak secara merit selepas 43 tahun tidak melakukannya sakaligus menjadi tumpuan di Asia.

Laman FIFA dan AFC juga kerap memberi penghargaan tatkala perjalanan unik bola sepak Malaysia menjadi tumpuan.

Berita mengenai pemain Malaysia mula dikongsikan oleh wartawan Argentina, Nahuel Lanzon yang mengagumi sisi berbeza Arif Aiman di Malaysia.

Lanzon merupakan wartawan kelahiran Argentina yang melakukan analisis terpeinci mengenai bola sepak Malaysia dan Asia bersama beberapa portal bola sepak terkemuka.

Beliau menyifatkan perjalanan bola sepak negara sebagai unik dengan gabungan pemain tempatan, naturalisasi dan warisan membuahkan hasil.

Matanya bagaimanapun tertumpu kepada kelibat pemain lincah JDT itu yang dianggap sebagai bintang masa hadapan bola sepak negara.

“Sebelum berbicara tentang pemain naturalisasi, saya akan menyebutkan tentang pemain terbaik Malaysia iaitu Arif Aiman.”

“Beliau baru sahaja berusia 21 tahun. Arif merupakan seorang penggelecek, berani dan mempunyai naluri yang unik di bahagian sayap kanan. Musim ini dia menjaringkan 18 gol dalam 33 perlawanan,” ujarnya.

Arif juga menjaringkan satu gol ketika membantu Harimau Malaya mengikat pasukan ke-91 dunia, Syria dengan keputusan 2-2.

Malaysia akan membuka langkah di Piala Asia 2023 dengan menentang Jordan pada 16 Januari 2024 jam 1:30 pagi.