Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz mengakui kelicikan dan kepantasan yang dimiliki Arif Aiman Hanapi persis penyerang Chelsea, Joao Pedro.
Pandangan jurulatih Sepanyol itu dibuat berdasarkan pengalaman beliau melatih Pedro ketika bersama Watford dari 2020 hingga 2021.
Munoz menyifatkan kedua-duanya memiliki persamaan dari segi kreativiti dan kepantasan berfikir bila beraksi di atas padang. Beliau menganggap pemain sebegini sukar dicari dalam bola sepak moden.
“Dalam bola sepak moden, kadang-kadang kita tidak mempunyai jenis pemain sebegini. Beliau (Arif Aiman) salah satu daripada kejutan terbesar saya.
“Kadang-kadang anda ada pemain muda seperti Joao Pedro di Watford. Dalam 10 minit, anda kata, ‘Wow, pemain ini cukup berbeza.’
“Arif pun sama. Arif memiliki kapasiti sama – kapasiti untuk mengubah permainan,” katanya seperti dilaporkan The Guardian.
Arif Aiman sudah membuktikan dirinya antara bintang terkemuka di Asia. Ini terbukti menerusi pencalonan sebagai calon Pemain Terbaik Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada tahun lalu.
Arif Aiman turut membuktikan dirinya mampu bersaing dengan pemain yang lebih berkualiti terutama di pentas Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) mahupun aksi persahabatan menentang Chelsea pada 9 Ogos lalu.