Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Harimau Malaya, Arif Aiman Hanapi sememangnya tidak melupakan asal usul beliau yang lahir dan membesar di Pahang.
Baru-baru ini, kelibat Arif Aiman telah dikesan di Atabara Arena Kuantan untuk mengunjungi pemain-pemain muda akar umbi yang di bawah seliaan Kuantan Soccerkids.
Pihak Kuantan Soccerkids juga mengucapkan terima kasih kepada Arif Aiman di atas kunjungan tersebut serta mendoakan agar Arif terus berjaya di masa hadapan.
“Menerima kunjungan Arif Aiman di Atabara Arena. Terima kasih kerana sudi (berkunjung) dan semoga terus berjaya dimasa hadapan,” ucap Kuantan Soccerkids laman Tiktok.
Video kunjungan Arif Aiman ke Kuantan Soccerkids itu telah tular di Tiktok dengan kini jumlah tontonan sudah mencapai 479 ribu kali tontonan.
Arif Aiman juga sempat menyantuni anak-anak Kuantan Soccerkids dengan menurunkan tandatangannya selain bergambar dengan para pemain cilik di situ.
Melalui tinjauan di ruangan komen, Kuantan Soccerkids ini merupakan tempat di mana Arif Aiman mula-mula beraksi ketika masih kecil.
“Akademi Kuantan Soccer Kids la tempat AA42 (Arif Aiman) bermain bola sepak sebelum melangkah ke JDT,” komen seorang pengguna Tiktok.
Arif Aiman kini semakin berjaya di JDT dengan pelbagai koleksi kejuaraan bersama kelab tersebut selain melakar sejarah tersendiri apabila muncul pemain pertama dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) buat kali ke-4 berturut-turut pada majlis Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2024-2025.