Pelumba JDT Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah dikenakan denda hampir RM2,000 oleh Asia Road Racing Championship (ARRC).
Hukuman tersebut diputuskan selepas menilai insiden membabitkan Hafizh dan rakan sepasukan, Andi Farid Izdihar selepas tamat perlumbaan kedua Asian Superbike 1000 (ASB1000).
Selepas tamat perlumbaan, kedua-dua pelumba merasa gembira kerana berjaya memenangi perlumbaan dan meraih tempat ketiga.
Meskipun begitu, keraian Hafizh dan Andi Farid hampir menyebabkan kedua-dua pelumba berlanggar. Kecekapan pelumba Indonesia itu mengawal jenteranya memastikan tiada perkara tidak diingini berlaku.
Insiden tersebut turut disedari ramai peminat permotoran negara dan dikongsikan di media sosial.
Susulan itu, Hafizh didenda AS$500 (RM1,900) dan dikenakan penalti satu long lap dalam perlumbaan pertama ASB1000 untuk pusingan kedua di Buriram, Thailand.
ARRC turut mengingatkan semua pelumba agar sentiasa mengutamakan keselamatan di litar tanpa mengira apa jua keadaan.