ARRC: Hafizh Syahrin Raih Kemenangan Berganda Di Sepang
UltraSukan
ARRC

Hafizh Syahrin Abdullah meneruskan aksi cemerlang dalam saingan Asia Road Racing Championship (ARRC) apabila mengungguli perlumbaan kedua Asian Superbike 1000 (ASB1000).

Selepas berjaya mengungguli perlumbaan pertama di Sepang, pelumba JDT Racing Team itu mahu meneruskan rentak cemerlang dalam perlumbaan kedua.

Seperti perlumbaan pertama, Hafizh memulakan perlumbaan di petak utama. Dua pencabar terdekat beliau, Keito Abe dan Zaqhwan Zaidi memulakan cabaran di tempat kedua dan ketiga.

Rakan sepasukan Hafizh dari Indonesia, Andi Farid Izdihar bermula di petak keempat. Andi Farid juga mahu meneruskan momentum sama selepas meraih tempat ketiga dalam perlumbaan pertama.

Sebaik perlumbaan bermula, pada awalnya, Hafizh diberi cabaran hebat oleh Abe yang mewakili SDG Harc-Pro. Honda Philippines.

Walau bagaimanapun, kehebatan jentera Ducati yang dibawa beliau membantunya menjarakkan diri dengan pelumba-pelumba lain.

Sebaliknya, Abe berdepan cabaran hebat Lachlan Epis yang mewakili Swift Grow Racing Team. Selepas gagal menamatkan perlumbaan sebelumnya, jaguh Australia itu dilihat berazam memburu kedudukan podium.

Tatkala Hafizh selesa mendahului di hadapan, tumpuan terarah kepada Epis dan Abe yang bersaing merebut tempat kedua.

Perebutan podium semakin rancak dengan Andi Farid turut mengejar duo berkenaan. Pelumba Indonesia itu memintas Epis untuk menduduki tempat ketiga dengan pelumba Jepun itu sasaran beliau seterusnya.

Pada akhirnya, tempat kedua menjadi milik pelumba Jepun itu dengan Andi Farid terpaksa berpuas hati di tempat ketiga.

Hafizh pula ceria meraih kemenangan kedua musim 2026 dengan kelebihan lebih lapan saat. Keputusan ini menyaksikan beliau merekodkan 50 mata selaku pendahulu keseluruhan ASB1000.

Beliau diekori Abe dan Andi Farid yang masing-masing mengumpul 40 dan 32 mata. Pusingan kedua ARRC bakal berlangsung di Buriram, Thailand dari 8 hingga 10 Mei ini.