Hafizh Syahrin Abdullah mencipta rekod baharu saingan Asia Road Racing Championship (ARRC) dengan melakar lapan kemenangan berturut-turut dalam kategori Asian Superbike 1000 (ASB1000).
Kejayaan itu dilakar pelumba JDT Racing Team itu dalam perlumbaan kedua ASB1000 di Litar Mandalika, Indonesia pada Ahad.
Pencapaian ini menyaksikan Hafizh mengatasi rekod tujuh kemenangan berturut-turut yang dilakar jaguh Jepun, Toshiyuki Hamaguchi dalam kategori Supersports 600 (SS600) pada 2005 seperti yang dikongsikan SNE Sports.
Beliau menyamai rekod itu dengan mengungguli perlumbaan pertama ASB1000 pada 8 Ogos lalu. Selain berpeluang melakar rekod baharu ARRC, Hafizh juga mampu melebarkan jurang mata sebagai pendahulu keseluruhan ASB1000 kepada 200 mata.
Perlumbaan kedua ASB1000 menyaksikan Hafizh bermula di petak pertama. Beliau diapit pencabar terdekat dari Jepun, Keito Abe dan jaguh Australia, Lachlan Epis.
Sebaik perlumbaan bermula, pelumba Indonesia, Adenanta Putra mengetuai perlumbaan sambil diekori Nakarin Atiratphuvapat dan Epis. Hafizh dan Abe pula masing-masing jatuh di tangga keempat dan kelima.
Meskipun begitu, kelebihan Adenanta hanya bertahan selama satu pusingan. Pelumba Astra Honda Racing Team itu kemudiannya dipintas Hafizh sebelum beliau mula menjarakkan diri dengan pelumba-pelumba lain.
Tidak seperti perlumbaan pertama, Abe tidak dapat menyaingi jaguh negara itu kerana jurang catatan masa yang terlalu jauh. Hal ini membolehkan Hafizh mengungguli perlumbaan dengan kelebihan tiga saat.
Abe yang mewakili Honda SDG Harc-Pro Philippines terpaksa berpuas hati di tempat kedua. Pelumba Jerman, Rocco Sessler yang mewakili Forty Forged Asia Racing Team pula meraih tempat ketiga.
Pencapaian ini menyaksikan Hafizh terus menerajui carta keseluruhan ASB1000 dengan 200 mata, 44 mata di hadapan Abe. Nakarin pula menduduki tempat ketiga keseluruhan dengan 95 mata.
Saingan ARRC kini akan diteruskan ke pusingan kelima di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada September ini.