Pelumba JDT Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah meneruskan rentak kemenangan 100% dalam saingan Asia Road Racing Championship (ARRC) dengan mengungguli perlumbaan pertama Asian Superbike 1000 (ASB1000) di Mandalika, Indonesia.
Selepas meraih dua kemenangan dalam dua perlumbaan ASB1000 di Motegi, Jepun, Hafizh berharap dominasi beliau dapat diteruskan dalam pusingan keempat ARRC di Mandalika.
Hasrat itu diperlihatkan beliau dengan meraih petak utama dalam pusingan kelayakan. Hafizh diapit pesaing terdekat dari Jepun, Keito Abe dengan Lachlan Epis meraih petak ketiga.
Sebaik perlumbaan pertama bermula, Epis pada awalnya mendahului perlumbaan. Walau bagaimanapun, pelumba Australia itu kemudiannya dikenakan penalti long lap oleh steward selepas dikesan bermula terlalu awal.
Situasi ini membuka ruang buat Abe dan Hafizh bersaing merebut posisi pendahulu perlumbaan. Selepas mendahului selama dua pusingan, pelumba SDG Harc-Pro Honda Philippines itu dipintas juara edisi 2025 itu.
Jentera Honda yang ditunggang Abe berupaya menyaingi jentera Ducati yang dikendalikan Hafizh. Meskipun begitu, beliau tidak dapat memintas jaguh Malaysia itu sehingga ke garisan penamat.
Pelumba Thailand yang mewakili Honda Racing Thailand, Nakarin Atiratphuvapat meraih tempat ketiga. Pelumba Jerman, Rocco Sessler melengkapkan kelompok empat teratas dengan menduduki tempat keempat.
Rakan sepasukan Hafizh dari Australia, Josh Waters pula menamatkan perlumbaan di tempat kesembilan. Waters dibawa masuk menggantikan Andi Farid Izdihar untuk pusingan keempat di Mandalika selepas pelumba Indonesia itu tidak dapat berlumba atas sebab kecederaan.
Keputusan ini menyaksikan Hafizh terus menerajui kedudukan keseluruhan ASB1000 dengan 175 mata. Abe pula terus mengejar dengan 136 mata di tempat kedua.
Jaguh Malaysia itu berpeluang menambah koleksi mata menerusi perlumbaan kedua yang akan berlangsung pada 9 Ogos ini.