ARRC: Andi Farid Terpaksa Lupakan Aksi Di Mandalika
UltraSukan
JDT Racing Team

Pelumba JDT Racing Team, Andi Farid Izdihar terpaksa melupakan pusingan keempat Asia Road Racing Championship (ARRC) di Mandalika, Indonesia.

Pelumba berusia 28 tahun itu terpaksa berbuat demikian selepas ditimpa kemalangan ketika beraksi dalam saingan Mandalika Racing Series baru-baru ini.

Pengurusan pasukan memaklumkan pemeriksaan perubatan mendapati Andi Farid mengalami pelbagai kecederaan retak dan kini menerima rawatan. Susulan itu, beliau terpaksa melupakan hasrat berlumba di hadapan penyokong sendiri di Mandalika.

“Kesihatan dan pemulihan penunggang kami kekal menjadi keutamaan kami. Kami komited sepenuhnya untuk menyokong Andi sepanjang pemulihannya dan memastikan beliau mempunyai masa dan penjagaan yang diperlukan untuk pulih sepenuhnya.

“Semua orang di JDT Racing Team merakamkan doa dan ingatan kami buat Andi dan keluarganya sepanjang tempoh ini.

“Kami mendoakan agar beliau pulih dengan lancar dan berharap dapat mengalu-alukan beliau kembali ke trek dengan lebih kuat berbanding sebelumnya,” kata pengurusan pasukan dalam satu kenyataan.

Sejak menyertai JDT Racing Team, Andi Farid telah menunjukkan prestasi konsisten dalam saingan Asian Superbike 1000 (ASB1000). Beliau kini di tangga ketiga keseluruhan dengan 74 mata.