ARRC: Hafizh Syahrin Kekal Dominan Di Motegi
UltraSukan
ARRC

Pelumba Johor Darul Ta’zim (JDT) Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah terus mengekalkan dominasi kemenangan dalam saingan Asia Road Racing Championship (ARRC) musim 2026.

Ini selepas pelumba Malaysia berusia 32 tahun itu muncul juara perlumbaan kedua Asian Superbike 1000 (ASB1000) untuk pusingan ketiga ARRC di Motegi, Jepun.

Selepas meraih kemenangan dalam perlumbaan pertama pada 13 Jun lalu, satu lagi kemenangan bakal menambah jurang mata Hafizh selaku pendahulu keseluruhan ASB1000 dengan pelumba-pelumba lain.

Ini kerana beliau kini mengumpul 125 mata, jauh meninggalkan pencabar terdekat, Keito Abe dengan 96 mata. Rakan sepasukan Hafizh dari Indonesia, Andi Farid Izdihar di tangga ketiga dengan 64 mata.

Perlumbaan kedua menyaksikan semua pelumba bermula dari kedudukan yang diraih dalam pusingan kelayakan. Hafizh diapit rakan senegara, Zaqhwan Zaidi di tempat kedua dan Abe yang mewakili SRC Harc-Pro Honda Philippines di tempat ketiga.

Sebaik perlumbaan bermula, bekas jaguh MotoGP itu mengorak langkah selaku pendahulu perlumbaan. Hafizh diekori rapat Abe dan Nakarin yang mewakili Honda Racing Thailand dengan Zaqhwan jatuh ke kedudukan keempat.

Pelumba Jepun itu kemudiannya dipintas Nakarin sekaligus jatuh ke tangga ketiga. Abe kini berdepan cabaran dua rakan senegara, Kohta Arakawa dan Shota Ite untuk kedudukan podium terakhir.

Nakarin cuba mengejar Hafizh tetapi pelumba JDT Racing Team itu kekal di hadapan dengan kelebihan 1.5 saat (s). Kelebihan itu terus dilebarkan kepada 3.8 s apabila perlumbaan memasuki pusingan ketujuh.

Kelebihan Hafizh selaku pendahulu perlumbaan kekal tidak dicabar sehingga ke garisan penamat. Abe dan Nakarin masing-masing terpaksa berpuas hati di tempat kedua dan ketiga.

Keputusan ini menyaksikan Hafizh kini mengumpul 150 mata. Beliau diekori Abe yang mengumpul 116 mata dengan Andi dan Nakarin masing-masing di tangga ketiga (74 mata) dan keempat (68 mata) keseluruhan.