ARRC: Hafizh Syahrin Raih Kemenangan Ke-5 Berturut-Turut
UltraSukan
ARRC

Pelumba Johor Darul Ta’zim (JDT) Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah terus melebarkan rentak kemenangan dalam saingan Asia Road Racing Championship (ARRC) di Motegi, Jepun.

Ini selepas Hafizh mengungguli perlumbaan pertama Asian Superbike 1000 (ASB1000) yang berlangsung pada Sabtu.

Pelumba berusia 32 tahun itu tahu satu lagi kemenangan di Jepun bakal mengukuhkan kedudukannya sebagai pendahulu keseluruhan ASB1000. Ini selepas Hafizh mengungguli dua perlumbaan dalam pusingan kedua di Buriram, Thailand.

Justeru, tidak hairanlah Hafizh mempamerkan tunggangan mantap dengan meraih kedudukan pertama dalam pusingan kelayakan. Beliau diapit dua pencabar rapat iaitu rakan senegara, Zaqhwan Zaidi dan wakil tuan rumah, Keito Abe.

Sebaik perlumbaan bermula, Zaqhwan yang mewakili Idemitsu Honda Racing Malaysia menerajui perlumbaan sambil dicabar Abe. Persaingan sengit kedua-dua pelumba membuka ruang buat Hafizh merampas semula tampuk pendahulu.

Zaqhwan kemudiannya perlu menjalani penalti pusingan panjang sebelum kembali menyertai perlumbaan. Situasi ini meletakkan beliau pada kedudukan kesembilan.

Pakej jentera Ducati yang dimiliki JDT Racing Team membantu Hafizh melebarkan jurang pendahulu kepada 2.5 saat (s) di hadapan pelumba-pelumba lain. Ini termasuk Abe yang mewakili SDG Harc-Pro Honda Philippines dan Nakarin Atiratphuvapat (Honda Racing Thailand).

Pelumba Akeno Lima Speed Racing Yamaha Majumotor Asia Team, Shota Ite kemudiannya merampas tempat ketiga daripada Nakarin selepas berada di tangga kelima. Selain pelumba Thailand itu, beliau turut memintas pelumba negara, Azroy Hakeem Anuar.

Dominasi Hafizh sebagai pendahulu terus dikekalkan sehingga tamat perlumbaan. Abe terpaksa berpuas hati di tempat kedua dengan Ite menduduki tempat ketiga. Ini kemenangan kelima berturut-turut beliau dalam ARRC musim 2026.

Keputusan ini menyaksikan Hafizh mengumpul 125 mata sambil diekori pelumba Jepun itu dengan 96 mata. Pelumba JDT Racing Team itu berpeluang melebarkan lagi kelebihan mata menerusi perlumbaan kedua ASB1000 yang berlangsung pada 14 Jun ini.