Pelumba JDT Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah terus melebarkan rentak kemenangan dengan memenangi perlumbaan kedua Asian Superbike 1000 (ASB1000) Asia Road Racing Championship (ARRC) di Buriram, Thailand.
Meskipun perlu melaksanakan penalti long lap dalam perlumbaan sebelumnya, itu tidak menghalang Hafizh memenangi perlumbaan buat kali ketiga pada 9 Mei lalu.
Perlumbaan kedua ASB1000 menyaksikan semua pelumba bermula mengikut kedudukan yang diraih dalam pusingan kelayakan. Zaqhwan Zaidi memulakan perlumbaan di petak utama.
Rakan sepasukan Zaqhwan dari Idemitsu Honda Racing Malaysia, Azroy Hakeem Anuar bermula di tempat kedua.
Keito Abe, Hafizh dan seorang lagi pelumba JDT Racing Team, Andi Farid Izdihar masing-masing bermula di petak ketiga, keempat dan kelima.
Sebaik perlumbaan bermula, Zaqhwan pada awalnya mendahului sambil diekori Hafizh, Azroy Hakeem dan Abe. Andi Farid pula kehilangan banyak tempat dan jatuh ke tangga ke-13.
Tampuk pendahulu kemudiannya diambil alih oleh Hafizh pada pusingan kedua perlumbaan. Zaqhwan cuba mencari ruang untuk memintas semula tetapi kedudukannya diancam Azroy Hakeem, Abe, Nakarin Atiratphuvapat dan Lachlan Epis.
Azroy Hakeem kemudiannya memintas Zaqhwan dan mula mengejar Hafizh. Malangnya, pelumba Idemitsu Honda Racing Malaysia itu terbabas dan mengalami kemalangan pada pusingan keenam.
Ini membuka ruang buat Hafizh melebarkan jurang dengan kelompok pengejar terdiri daripada Zaqhwan, Abe dan Nakarin. Dominasi itu dikekalkan sehingga ke garisan penamat.
Abe yang mewakili SDG Harc-Pro Honda Philippines memastikan tempat kedua menjadi miliknya. Nakarin yang mewakili Honda Racing Thailand pula terpaksa berpuas hati dengan tempat ketiga.
Keputusan ini menyaksikan Hafizh terus menerajui carta ASB1000 dengan 100 mata. Abe pula terus mengekori dari belakang dengan 76 mata.
Selepas ini, pusingan ketiga ARRC akan berlangsung di Motegi, Jepun dari 12 hingga 14 Jun ini.