Penalti long lap tidak menghalang Hafizh Syahrin Abdullah muncul juara dalam perlumbaan terbaru Asia Road Racing Championship (ARRC) untuk kategori Asian Superbike 1000 (ASB1000) di Buriram, Thailand.
Selepas muncul juara berganda dalam dua perlumbaan di Sepang, pelumba JDT Racing Team itu berharap dapat meneruskan momentum selaku pendahulu keseluruhan ASB1000.
Hafizh memulakan perlumbaan di kedudukan kelima. Ini selepas beliau meraih tempat kelima dalam sesi kelayakan di belakang rakan sepasukan dari Indonesia, Andi Farid Izdihar.
Pelumba Idemitsu Honda Racing Malaysia, Zaqhwan Zaidi memulakan perlumbaan di tangga pertama. Beliau diapit rakan sepasukan, Azroy Hakeem Anuar dan jaguh Jepun, Keito Abe.
Sebaik perlumbaan bermula, Zaqhwan muncul sebagai pendahulu sambil dikejar Azroy Hakeem dan Abe. Hafizh pula menduduki tempat keempat sebelum menyelesaikan penalti long lap terlebih dahulu.
Penalti tersebut tidak menghalang beliau untuk memburu kelompok tiga pelumba teratas. Azroy Hakeem dan Abe saling bertukar kedudukan sebagai pendahulu perlumbaan sambil diperhatikan Zaqhwan.
Kepantasan jentera Ducati dimanfaatkan sepenuhnya Hafizh untuk merampas tampuk pendahulu. Azroy Hakeem, Abe dan Zaqhwan cuba mengejar tetapi kemenangan menjadi milik anak jati Ampang, Selangor itu.
Pelumba Idemitsu Honda Racing Malaysia itu terpaksa berpuas hati di tempat kedua. Abe pula memastikan tempat ketiga menjadi miliknya meskipun cuba dikejar Zaqhwan.
Keputusan ini menyaksikan Hafizh terus melebarkan kelebihan selaku pendahulu ASB1000 dengan 75 mata diikuti oleh Abe.
Beliau berpeluang menambah satu lagi kemenangan dalam perlumbaan kedua ASB1000 yang akan berlangsung pada 10 Mei ini.