ARRC Umum Tarikh Baru Perlumbaan Di Sepang
UltraSukan
ARRC

Asia Road Racing Championship (ARRC) telah mengumumkan tarikh baru untuk pusingan kelima kejohanan itu di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Fédération Internationale de Motocyclisme (FIM) Asia dan Two Wheels Motor Racing (TWMR) memutuskan pusingan kelima ARRC di Sepang akan berlangsung dari 4 hingga 6 September ini.

Keputusan itu diambil dengan mengambil kira SIC akan menjadi tuan rumah perlumbaan Formula 1 (F1) Grand Prix (GP) Bahrain yang akan berlangsung dari 2 hingga 4 Oktober ini.

TWMR memaklumkan perubahan tarikh ini tidak akan mengganggu perubahan litar sekaligus membolehkan perlumbaan F1 di Sepang berjalan lancar seperti dirancang.

TWMR juga akan bekerjasama dengan SIC dan semua pemegang taruh berhubung perubahan tarikh tersebut. Langkah ini bertujuan mengurangkan gangguan dari segi jadual perlumbaan dan pergerakan kargo terutama jentera semua pasukan bertanding.

TWMR juga menzahirkan penghargaan buat semua pihak kerana sudi bekerjasama bagi memastikan perubahan tarikh ini dapat dijayakan. Entiti itu turut memohon maaf atas kesulitan yang dihadapi susulan perubahan tersebut.

Pusingan keempat ARRC kini berlangsung di Mandalika, Indonesia dari 7 hingga 9 Ogos ini.