Formula 1 Sah Kembali Ke Sepang
UltraSukan
Sepang Circuit

Saingan Formula 1 (F1) akhirnya kembali mewarnai Litar Antarbangsa Sepang (SIC) buat kali pertama sejak 2017.

Perkara itu diumumkan F1 menerusi satu kenyataan pada Ahad. SIC bakal menjadi pengganti Grand Prix (GP) Bahrain yang sepatutnya berlangsung pada 2 hingga 4 Oktober ini.

“Satu perjanjian bersejarah untuk mengekalkan Grand Prix pada tahun ini,” kata F1 dalam satu kenyataan.

“Ini menunjukkan keupayaan sukan ini untuk beradaptasi dan menunjukkan visi hebat Bahrain dan komitmen mereka terhadap F1 dan juga kemurahan hati Malaysia untuk menjadikan perkara ini satu kenyataan.”

F1 turut mengesahkan perlumbaan ini akan berlangsung antara dua lagi perlumbaan iaitu GP Azerbaijan dan GP Singapura.

Meskipun diadakan di Malaysia, perlumbaan ini akan dinamakan sebagai GP Bahrain selepas persetujuan F1, kerajaan Malaysia dan pihak berkuasa negara Asia Barat itu.

Sepang menjadi pilihan susulan situasi peperangan yang tercetus di rantau itu antara Amerika Syarikat (US) dan Iran. Situasi itu juga turut memberi kesan kepada dua lagi perlumbaan F1 di rantau itu, GP Qatar dan GP Abu Dhabi.

Jika kedua-dua perlumbaan itu tidak dapat diadakan pada akhir tahun ini, Imola, San Marino bakal menjadi pilihan F1 sebagai perlumbaan akhir musim.

Imola bukan asing buat peminat F1 kerana pernah menjadi tuan rumah perlumbaan tersebut dari 2020 hingga 2025. Selain Imola, F1 juga sedia mempertimbang Litar Portimao, Portugal dan Istanbul Park di Turkiye untuk perlumbaan sama.

Meskipun begitu, kemungkinan perlumbaan F1 diadakan di situ dilihat tipis. Ini kerana kedua-dua litar dijangka menjalani proses penambahbaikan sebagai persediaan untuk perlumbaan yang akan diadakan pada 2027.