Pasukan gergasi Asia, Jepun bakal diuji Amerika Syarikat (AS) dan Mexico dalam dua aksi persahabatan antarabangsa pada September ini.
Ini selepas Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA) mengumumkan dua aksi persahabatan antarabangsa membabitkan dua pasukan CONCACAF itu.
Menariknya, dua aksi persahabatan itu diadakan di AS. Ini dilihat sebagai langkah awal buat anak buah Hajime Moriyasu membiasakan diri di negara itu sebelum Piala Dunia 2026.
Jepun akan menentang Mexico terlebih dahulu di Oakland Coliseum pada 7 September. Ini disusuli aksi menentang AS di Lower.com Field pada 10 September.
Samurai Biru sudah mengesahkan kelayakan secara merit ke Piala Dunia 2026 apabila mengetuai Kumpulan C dengan 20 mata.
Jumlah mata tersebut sudah cukup buat Jepun menjuarai Kumpulan C. Tiga pasukan iaitu Australia, Arab Saudi dan Indonesia berpeluang mengiringi Samurai Biru selaku naib juara.
Jepun bakal melengkapkan baki dua aksi Kumpulan C dengan menentang Australia di Perth pada 5 Jun. Ini disusuli aksi menentang Indonesia di Suita pada 10 Jun.