Indonesia dipaksa bekerja keras sebelum berjaya menumpaskan Timor Leste dalam aksi kumpulan A ASEAN Hyundai Cup 2026 pada Jumaat
Kemenangan 3-0 Indonesia pada petang Jumaat tidak hadir begitu mudah, melihat kepada aksi hebat barisan pemain Timor Leste yang bekerja keras mempertahankan gawang meskipun beraksi dengan 10 pemain selama 70 minit.
Kesebelasan utama Indonesia ditunjangi nama-nama hebat antaranya Jordi Amat, Thom Haye, Mitchell Baker serta Eliano Reijnders sementara Timor Leste turun dengan formasi 5-4-1 sambil diketuai oleh pemain sayap lincah, Zenivio Mota.
Malang untuk Timor Leste apabila kehilangan pertahanan tengah, Jackson Fowler yang dilayangkan kad kuning kedua seawal minit ke-21, sekali gus memaksa hanya 10 orang pemain mengekang asakan Indoensia pada baki 70 minit permainan.
Walaupum mempunyai kelebihan seorang pemain, Indonesia tampak agak bergelut bagi memecahkan benteng pertahanan Timor Leste yang berusaha keras mematahkan setiap serangan hingga berakhirnya separuh masa yang pertama.
Kebuntuan jaringan akhirnya terlerai jua apabila pemain gantian, Shayne Pattynama menjaringkan gol sulung Indonesia pada minit ke-74, sebelum Thom Haye menggandakan kelebihan selang 4 minit kemudian untuk skor 2-0.
Pada minit ke-81, Mitchell Baker menutup aksi Indonesia dengan 3 mata selepas penyerang muda tinggi lampai itu menjaringkan gol ketiga untuk pasukan Garuda, sekali gus memaksa Timor Leste menelan kekalahan ke-3 pada kempen kali ini.
Selepas ini, Indonesia akan kembali ke Jakarta untuk melayani kunjungan Vietnam sementara Timor Leste bakal terbang ke Phnom Penh untuk aksi berdepan Kemboja dengan kedua-dua aksi dijadualkan pada 3 Ogos akan datang.