ASEAN Hyundai Cup: Indonesia Belasah Kemboja Tanpa Belas Kasihan
MakanBola
Cambodia FF

Indonesia membuka kempen ASEAN Hyundai Cup 2026 dengan penuh bergaya selepas membelasah Kemboja 5-1 dalam aksi Kumpulan A di Bogor. 

Skuad Garuda tampil dominan sejak awal permainan apabila Mitchell Baker mencuri tumpuan menerusi hatrik pada penampilan sulungnya bersama pasukan kebangsaan Indonesia. 

Pemain berusia 19 tahun itu membuka jaringan seawal minit keenam sebelum menggandakan kelebihan Indonesia sembilan minit kemudian untuk meletakkan tuan rumah dalam keadaan selesa. 

Sandy Walsh kemudian menambah derita Kemboja pada minit ke-24 menerusi tandukan hasil sepakan sudut Thom Haye untuk menjadikan kedudukan 3-0 sebelum rehat. 

Kemboja cuba bangkit pada awal babak kedua apabila Chea Sokmeng berjaya merapatkan jurang pada minit ke-48 selepas bola sepakan sudutnya terbias masuk ke gawang Indonesia. 

Namun, Indonesia kembali mengawal permainan apabila Mitchell Baker melengkapkan hatrik pada minit ke-56 menerusi hantaran Haye untuk mengembalikan kelebihan tiga gol. 

Jens Raven melengkapkan malam gemilang Indonesia selepas menjaringkan gol kelima pada minit ke-86 sekali gus memastikan kemenangan besar buat pasukan tuan rumah. 

Kemenangan ini menyaksikan Indonesia memulakan perjalanan ASEAN Hyundai Cup 2026 dengan penuh keyakinan sambil menghantar mesej awal kepada pencabar lain dalam Kumpulan A. 

Mitchell Baker turut dinobatkan sebagai Hyundai Player of the Match selepas persembahan cemerlangnya membantu Indonesia meraih tiga mata pertama.