Singapura meneruskan rentak kemenangan dalam Kumpulan A ASEAN Hyundai Cup apabila menewaskan Timor Leste.
Selepas dipaksa bekerja keras sebelum menewaskan Kemboja 2-1, The Lions berharap dapat meneruskan rentak kemenangan bila menentang Timor Leste. Timor Leste pula mahu bangkit selepas dibelasah Vietnam 7-0.
Ilhan Fandi terus menjadi sandaran gol jurulatih Singapura, Gavin Lee. Penyerang Lusitano FCV, Zion Cruz mengetuai jentera serangan pelawat.
Separuh masa pertama menyaksikan jentera serangan tuan rumah diketuai Ilhan bergelut menembusi benteng Timor Leste diketuai bek tengah Sesimbra, Eric Silva.
Singapura terpaksa menunggu sehingga minit ke-41 untuk membuka tirai jaringan menerusi penyerang baharu Lion City Sailors (LCS) itu. Ilhan menyumbat gol keduanya dalam kejohanan dengan menyudahkan hantaran Nur Adam Abdullah.
Gol tersebut memasikan Singapura mendahului 1-0 sehingga rehat separuh masa.
Bersambung pada babak kedua, Timor Leste memasukkan Olagar Xavier untuk menambah sengat di bahagian serangan.
Malangnya, gawang pasukan ke-201 dunia itu bocor lagi buat kali kedua pada minit ke-56. Giliran Song Ui-young pula mencetak nama sebagai penjaring.
Cruz hampir merapatkan jurang buat Timor Leste pada minit ke-63. Malangnya, percubaan beliau berjaya disekat penjaga gol Singapura, Izwan Mahbud.
Timor Leste terus berusaha memastikan gawang mereka tidak dibolosi lagi untuk baki perlawanan. Keputusan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Sofascore memilih Ilhan dan Dylan Niski sebagai pemain terbaik perlawanan. Kedua-dua pemain berkongsi markah sama iaitu 7.8.
Selepas ini, Timor Leste akan menentang Indonesia di Chonburi, Thailand pada 31 Julai. Singapura pula akan menentang juara bertahan, Vietnam pada hari yang sama.