Vietnam melaungkan amaran awal buat semua pasukan yang mahu merebut gelaran juara ASEAN Hyundai Cup 2026 dengan membelasah Timor Leste 7-0 dalam aksi pertama Kumpulan A.
Pahlawan Bintang Emas yang juga juara edisi lalu menunjukkan mereka mahu mengekalkan gelaran juara untuk dua edisi berturut-turut.
Pemain naturalisasi Vietnam, Do Hoang Hen membuka tirai jaringan pada minit ketujuh. Nguyen Dinh Bac menggandakan kelebihan anak buah Kim Sang-sik 24 minit selepas itu.
Vietnam menambah dua lagi gol dalam tempoh kurang seminit pada minit ke-41 dan 42. Hoang Hen dan Dinh Bac masing-masing mencetak nama sebagai penjaring.
Penyerang berbisa Vietnam, Nguyen Xuan Son memastikan pasukan itu mendahului 5-0 sehingga rehat menerusi gol pada minit akhir babak pertama.
Dinh Bac kemudiannya mencipta hatrik pada minit ke-65. Jeneral tengah Vietnam, Nguyen Quang Hai melengkapkan kemenangan bergaya pasukan itu dengan gol pada minit ke-79.
Tidak seperti Vietnam, Singapura pula dipaksa bekerja keras sebelum menewaskan Kemboja 2-1. Shawal Anuar meletakkan The Lions di hadapan pada minit ke-22.
Meskipun begitu, Kemboja yang membariskan ramai pemain naturalisasi tidak berputus asa mendapatkan gol penyamaan. Hasilnya, Ouk Sovan menyamakan kedudukan pada minit ke-55.
Penyerang baharu Lion City Sailors (LCS), Ilhan Fandi muncul wira dengan meledakkan gol kemenangan cantik pada minit akhir perlawanan. Dua keputusan ini menyaksikan Vietnam dan Singapura mendahului kumpulan dengan tiga mata.