ASEAN Hyundai Cup: Singapura Atasi Kemboja Saat Akhir
MakanBola
FAS

Singapura memulakan kempen Kumpulan A ASEAN Hyundai Cup dengan langkah kanan selepas menewaskan Kemboja 2-1 di Stadium Nasional Morodok Techo, Kemboja, pada Jumaat malam.

The Lions yang turun selaku pasukan pilihan berjaya memenuhi jangkaan apabila Ilhan Fandi muncul wira saat akhir menerusi jaringan voli nya yang memastikan tiga mata menjadi milik mereka.

Ketua jurulatih Kemboja, Koji Gyotoku mempertaruhkan empat pemain naturalisasi Kemboja untuk aksi menentang Singapura, dengan Abdel Kader Coulibaly, Iago Bento, Yudai Ogawa dan Alisher Mirzaev menjadi tonggak utama The Angkor Warriors.

Sementara itu, Gavin Lee selaku ketua jurulatih Singapura menurunkan Irfan Fandi, anak kepada legenda bola sepak Singapura, Fandi Ahmad, dalam kesebelasan utama The Lions. Adiknya, Ilhan Fandi, bermula di bangku simpanan manakala Iksan Fandi tidak bersama pasukan.

Pada minit ke-22, Syawal Anwar meletakkan Singapura di hadapan apabila bijak meloloskan diri di belakang benteng pertahanan Kemboja hasil hantaran Lionel Tan, sebelum tenang merembat bola ke dalam gawang.

Pada minit ke-55, Kemboja menyamakan kedudukan menerusi Sovann Ouk selepas pemain tersebut melepaskan rembatan cantik dari luar kotak penalti yang menewaskan penjaga gol Singapura, Izwan Mahbud.

Singapura hampir mencipta gol kemenangan pada minit ke-88 menerusi Ilhan Fandi yang menyambar bola bebas di hadapan gawang, tetapi jaringan tersebut tidak dikira selepas keputusan VAR membatalkan gol berkenaan.

Akhirnya, Ilhan Fandi menjadi wira Singapura dengan gol voli pada saat akhir untuk membantu Singapura meraih kemenangan pertama.

Perlawanan antara Kemboja dan Singapura berakhir dengan kemenangan tipis 2-1 buat The Lions. Kemboja selepas ini akan menentang Indonesia, sementara Singapura pula dijadualkan berdepan Timor Leste pada 27 Julai.