Malaysia terlepas peluang memperkukuh kedudukan di persada Kumpulan B ASEAN Hyundai Cup apabila tewas di tangan Thailand.
Malaysia sedar kemenangan ke atas tuan rumah di Stadium Rajamangala mencerahkan peluang layak ke separuh akhir. Thailand pula memburu kemenangan agar dapat menyamai mata skuad negara di persada Kumpulan B.
Aliff Haiqal Lau dibawa masuk sebagai pengganti Endrick dos Santos di bahagian tengah. Thailand pula mempertaruhkan Yotsakorn Burapha untuk merobek gawang Harimau Malaya.
Syafiq Ahmad hampir meletakkan skuad negara di hadapan seawal minit pertama. Malangnya, percubaan bekas penyerang DPMM FC itu gagal menepati sasaran.
Malaysia kemudiannya bernasib malang apabila Thailand dianugerahkan sepakan penalti. Keputusan itu dibuat pengadil apabila VAR mengesan kekasaran ke atas pemain Thailand dalam kotak penalti Harimau Malaya.
Yotsakorn tenang menyempurnakan penalti yang menewaskan penjaga gol negara, Azri Ghani tiga minit selepas itu.
Kapten Harimau Malaya, Paulo Josue hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-45. Malangnya, percubaan beliau tersasar sekaligus memastikan keputusan 1-0 kekal sehingga rehat separuh masa.
Bersambung pada babak kedua, jurulatih Thailand, Anthony Hudson memasukkan Worachit Kanitsribumphen untuk memperkemaskan jentera pasukan itu.
Jurulatih interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe pula membuat pertukaran di bek kiri dengan memasukkan Faris Danish Asrul menggantikan V. Ruventhiran.
Tatkala skuad negara cuba bangkit, gawang Azri dibolosi buat kali kedua pada minit ke-56 menerusi Teerasak Poeiphimai. Teerasak berjaya melepasi perangkap ofsaid sebelum menewaskan penjaga gol Negeri Sembilan FC itu.
Cheng Hoe kemudiannya memasukkan Wan Kuzain Wan Ahmad Kamal, Engku Nur Shakir Engku Yacob, Daryl Sham dan Alif Ahmad untuk cuba mengubah momentum permainan.
Walau bagaimanapun, anak buah Hudson terus mengekalkan penguasaan permainan dengan keputusan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Ini membuka ruang buat Thailand menerajui kumpulan dengan kurang satu perlawanan.
Worachit dipilih pemain terbaik perlawanan oleh Sofascore dengan markah 7.4. Selepas ini, Thailand akan menentang Filipina pada 4 Ogos.
Harimau Malaya pula akan menentang lawan sama pada 8 Ogos di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras. Aksi itu juga berpotensi menentukan sama ada Malaysia layak ke separuh akhir atau tidak.