Tonggak Harimau Malaya, Endrick Dos Santos bakal membawa peranan baharu dalam pasukan setelah sah terlepas aksi penting bertemu Thailand pada Sabtu.
Kelibat Endrick bakal disisihkan selepas tonggah baharu Star City tersebut mengalami kecederaan MCL akibat diterjah secara keras oleh pemain Laos ketika aksi kedua peringkat kumpulan B ASEAN Hyundai Cup 2026 pada Selasa lalu.
Ketiadaan Endrick membuatkan pengendali interim negara, Tan Cheng Hoe mengubah perancangan pasukan dengan beberapa pemain dilihat berpotensi bagi menggantikan posisi yang ditinggalkan tonggak berusia 30 tahun itu di jentera tengah.
Walaupun terlepas aksi bertemu Thailand, Endrick masih dianggap penting di dalam pasukan dan Tan Cheng Hoe mahu pemain naturalisasi negara itu ikut terbang ke Bangkok bagi memberikan motivasi tambahan buat pemain-pemain muda.
“Barisan kejurulatihan sedang bekerja keras untuk mengenal pasti pemain yang paling sesuai untuk menggantikan beliau (Endrick),” ujar Tan Cheng Hoe ketika sesi sidang media pada Jumaat.
“Suasana dalam kem kekal positif. Endrick juga terus bersama pasukan dan memberikan sokongan dan semangat buat pemain-pemain muda menjelang baki perlawanan yang akan datang,” tambah bekas pengendali Kedah itu.
Pertembungan Thailand vs Malaysia bakal berlangsung pada Sabtu, 1 Ogos di Stadium Rajamangala, Bangkok dengan sepak mula perlawanan aksi jam 9 malam waktu Malaysia.