ASEAN Hyundai Cup: Myanmar ‘Baham’ Filipina
MakanBola
Myanmar FF

Myanmar mencipta kejutan dengan membelasah pasukan ke-135 dunia, Filipina dalam aksi kedua Kumpulan B ASEAN Hyundai Cup 2026.

Selepas tewas 2-1 di tangan Malaysia, anak buah Jorn Andersen berazam untuk bangkit memburu kemenangan. Filipina juga memburu misi sama memandangkan ini aksi pertama mereka dalam Kumpulan B.

Kyaw Min Oo terus menjadi pilihan Andersen untuk mengemudi jentera tengah Myanmar. Penjaga gol Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Quincy Kammeraad mengawal gawang Filipina.

Sebaik perlawanan bermula, Myanmar yang beraksi selaku pasukan pelawat mendominasi perlawanan. Jentera serangan mereka diketuai Than Paing kerap mencemaskan benteng tuan rumah diketuai Daisuke Sato.

Penyokong Filipina tergamam apabila Myanmar membuka tirai jaringan pada minit ketujuh. Min Oo membuat tandukan deras yang tepat menuju penjuru atas gawang tuan rumah.

Tersentak, Filipina cuba mengatur semula rentak dengan sokongan padu penyokong. Meskipun begitu, serangan bertali arus Myanmar menyukarkan Filipina keluar dari bahagian mereka.

Myanmar menggandakan kelebihan mereka pada minit ke-28 menerusi Than Paing. Beliau menyudahkan hantaran Maung Maung Lwin yang menewaskan Kammeraad.

Tuan rumah menyangka mereka mendapat sepakan penalti pada minit ke-34. Walau bagaimanapun, Filipina hampa apabila penalti tersebut dibatalkan selepas disemak oleh VAR.

Filipina cuba mengurangkan defisit gol tetapi keputusan 2-0 kekal sehingga rehat separuh masa.

Bersambung pada babak kedua, jurulatih Filipina, Carles Cuadrat membuat dua pertukaran. Beliau membawa masuk Adrian Ugelvik dan Kenji Nishioka menggantikan bekas pemain Kuching City FC, Scott Woods dan Pocholo Bugas.

Selepas dinafikan penalti pada babak pertama, Jarvey Gayoso merapatkan jurang buat tuan rumah pada minit ke-68. Penyerang Bangkok FC itu menyudahkan hantaran Javier Mariona yang menewaskan Zin Nyi Nyi Aung.

Susulan itu, Andersen memasukkan bekas pemain sayap Selangor FC, Hein Htet Aung untuk menambah sengat di bahagian serangan.

Myanmar kembali memperkemaskan rentak dan menyumbat dua lagi gol menerusi Naing Tun dan Than Paing pada minit ke-81 dan 83. Keputusan 4-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Keputusan ini menyaksikan Myanmar kini berkongsi tiga mata dengan Harimau Malaya dan Thailand dalam Kumpulan B. Kedudukan kumpulan dijangka berubah sekiranya Malaysia berjaya menewaskan Laos dalam satu lagi aksi kumpulan.

Sofascore memilih Than Paing sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 8.4. Beliau jauh meninggalkan rakan sepasukan, Myat Kaung Khant dan Min Oo yang berkongsi markah 7.9.

Selepas ini, kedua-dua pasukan akan menentang Laos. Filipina akan menentang Laos pada 1 Ogos sebelum disusuli Myanmar pada 4 Ogos.