Dua Tonggak Import Tinggalkan Kuching City
MakanBola
Kuching City FC

Kuching City FC mengesahkan telah berpisah dengan dua tonggak import pasukan itu, Moses Atede dan Scott Woods.

Berita tersebut dikongsikan pengurusan Kuching City menerusi pengumuman di semua platform rasmi mereka. Kelab itu menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Atede dan Woods sepanjang tempoh mereka berada di Kuching.

Pengurusan The Cats turut mengucapkan selamat berjaya kepada kedua-dua pemain itu untuk destinasi pilihan mereka yang berikutnya.

Atede meninggalkan The Cats dan menjadi tonggak utama pasukan sejak tiba pada pertengahan musim 2024/25. Woods pula memainkan peranan penting di bahagian pertahanan sepanjang semusim di Kuching.

Kedua-duanya menjadi sebahagian daripada kisah kejayaan Kuching City pada musim lalu. Selain mara ke final Piala Malaysia, The Cats turut menamatkan musim sebagai naib juara Liga Super.

Atede merekodkan 53 penampilan dan lima bantuan gol sepanjang bersama Kuching City. Woods pula merekodkan 32 penampilan, satu gol dan tiga bantuan gol dalam semua kejohanan musim lalu.

Kejayaan itu menyaksikan anak buah Aidil Sharin Sahak menjadi wakil Malaysia dalam saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) musim ini.

Kuching City sudah mengambil langkah mendapatkan pemain bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Atede dan Woods. The Cats telah merekrut dua pemain tengah baharu iaitu Nazmi Faiz Mansor dan Kaishu Yamazaki.

Pemain pertahanan versatil kebangsaan, Declan Lambert pula dibawa masuk untuk memperkukuh posisi pertahanan. Meskipun beraksi di bek kiri, beliau juga boleh beraksi di bek kanan dan bek tengah jika perlu.