Kuching City FC terus memantapkan jentera tengah mereka dengan merekrut pemain tengah bertahan Jepun, Kaishu Yamazaki.
Pengurusan The Cats mengumumkan perpindahan pemain berusia 28 tahun itu menerusi satu hantaran video di semua platform rasmi kelab berkenaan.
Yamazaki menjadi rekrut terbaru Kuching City selepas pemain tengah Harimau Malaya, Nazmi Faiz Mansor, bekas penyerang Penang FC, Dylan Wenzel-Halls dan bekas pemain pertahanan Melaka FC, Irfan Zakaria.
“Dari Negara Matahari Terbit ke City of Unity, satu lagi babak baru bermula. Cara seorang pahlawan tidak ditentukan oleh di mana perjalanan beliau bermula tetapi keberanian mencari cabaran baharu.
“Hari ini, Kaishu Yamazaki membawa semangat Bushido ke City of Unity. Dengan disiplin, kehormatan dan keazaman, beliau menyertai usaha kita memburu kegemilangan. Selamat datang ke Kuching City FC, Kaishu,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Yamazaki hadir dengan pengalaman bukan saja pernah beraksi di pentas Asia. Malah, beliau turut membawa pengalaman bergelar pemenang trofi di Singapura dan Filipina.
Antara trofi yang pernah dimenangi Yamazaki ialah Singapore Premier League (SPL), Singapore Cup, Singapore Community Shield dan Philippines Football League.
Malah, beliau juga pernah beraksi di Malaysia untuk saingan Piala Sultan Selangor pada 2019. Nama Yamazaki dipilih menjadi sebahagian daripada skuad Pilihan Singapura yang dibimbing Nazri Nasir.