Bekas penyerang Penang FC, Dylan Wenzel-Halls sah memilih Kuching City FC sebagai pasukan baharu untuk musim 2026/27.
Perpindahan bekas pemenang Piala AFC itu diumumkan pengurusan The Cats menerusi satu hantaran video yang disiarkan di semua platform rasmi mereka.
“Dalam bola sepak, setiap kota menanti wiranya yang seterusnya. Setiap musim mahukan satu cerita yang baru. Babak sudah ditulis. Keputusan telah dibuat.
“Seorang peledak telah menyertai City of Unity dengan cita-cita dan matlamat. Dylan Wenzel-Halls kini secara rasmi pemain Kuching City FC. Pengembaraan bermula sekarang,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Perpindahan ini sekaligus mengesahkan khabar angin bahawa Kuching City menjadi pilihan Wenzel-Halls selepas memilih tidak kekal di Pulau Mutiara.
Pemain sayap berusia 28 tahun itu menjadi rekrut kedua The Cats selepas pemain tengah kebangsaan, Nazmi Faiz Mansor. Wenzel-Halls dilihat bakal menjadi aset tambahan Kuching City di bahagian serangan.
Ini kerana musim 2025/26 merupakan musim paling prolifik buat beliau dalam kariernya. Wenzel-Halls menyumbat 14 gol dan mencipta tujuh bantuan gol dalam 34 penampilan semua kejohanan untuk Penang.
Selain itu, beliau juga memiliki pengalaman beraksi dalam Piala AFC sebelum dijenamakan semula sebagai Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).
Sebelum menyertai Penang, Wenzel-Halls menjadi sebahagian daripada barisan pemain Central Coast Mariners (CCM) yang bergelar juara kejohanan itu untuk musim 2023/24.