Nazmi Faiz Berkelana Ke Kuching City
MakanBola
Kuching City FC

Pemain tengah kebangsaan, Nazmi Faiz Mansor sah melengkapkan perpindahan pinjaman ke Kuching City FC.

Perpindahan pemain tengah berusia 31 tahun itu diumumkan pengurusan The Cats menerusi satu kenyataan di semua platform rasmi pasukan itu.

“Dari bayang-bayang, lembaran baharu muncul. Hari ini, kita mengalu-alukan salah seorang maestro bahagian tengah terbaik bola sepak Malaysia ke City of Unity.

“Dengan pengalaman, visi dan semangat juang yang teguh, beliau tiba sedia menulis sejarah dalam warna hijau dan putih. Penantian telah berakhir, era baharu bermula sekarang. Selamat datang ke Kuching City FC, bersama-sama kita mengejar kehebatan,” kata kelab dalam satu kenyataan.

Nazmi antara tiga pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) yang dipinjamkan ke pasukan lain untuk musim 2026/27. Selain beliau, JDT turut mengumumkan Ajdin Mujagic dan Ibrahim Manusi juga akan meninggalkan kelab secara pinjaman.

Sebelum menyertai Kuching City, Nazmi sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan ke Star City FC. Ini disebabkan beliau pernah bekerjasama dengan jurulatih baharu pasukan itu, Mehmet Durakovic.

Kehadiran Nazmi dijangka menambah pilihan pemain buat jurulatih, Aidil Sharin Sahak di bahagian tengah Kuching City musim ini.