Hasrat Indonesia untuk layak lebih awal ke pusingan 16 pasukan terbaik Sukan Asia 2023 gagal selepas mereka tewas mengejut kepada Taiwan hari ini.
Skuad Garuda Muda boleh layak ke pusingan seterusnya dengan syarat mereka mengalahkan Taiwan dengan Korea Utara menang atau seri dengan Kyrgyzstan.
Begitupun, separuh masa pertama menyaksikan Taiwan amat berdisiplin mengawal pertahanan mereka. Selepas dibelasah 9-0 oleh Indonesia dalam aksi kelayakan Piala Asia B-23 baru-baru ini, mereka tidak mahu pisang berbuah dua kali.
Peluang terbaik Indonesia hadir menerusi Bagas Kaffa pada minit ke-24. Bagaimanapun, percubaan beliau berjaya dinafikan penjaga gol Chiu Yu-Hung – keputusan 0-0 kekal sehngga rehat.
Bersambung selepas rehat, Taiwan yang dibimbing Chen Jiunn-Ming mula mengatur rentak. Hasilnya, Chin Wen-Yen menyempurnakan hantaran Lin Wei-Chien bagi meletakkan pasukan dari Asia Timur itu di hadapan pada minit ke-47.
Tersentak, Garuda Muda yang dibimbing Indra Sjafri cuba bangkit. Malangnya, strategi pertahanan Taiwan yang berdisiplin memastikan keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan Indonesia, Taiwan dan Korea Utara masing-masing mempunyai tiga mata. Begitupun, kedudukan ini boleh berubah sekiranya Kyrgyzstan atau Korea Utara meraih kemenangan dalam satu lagi aksi Kumpulan F malam ini.